Halaman

Khamis, 25 September 2008

Tren LRT Yang Berlanggar Sudah Dipindahkan

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Kerja-kerja memindahkan kedua-dua tren Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang berlanggar berhampiran Stesen LRT Bukit Jalil di sini sudah selesai Rabu malam, dan perkhidmatan itu akan beroperasi seperti biasa Khamis.

Pengurus besar komunikasi korporat Rangkaian Pengangkutan Intergrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) Ebi Azly Adullah berkata perkhidmatan tren LRT Star aliran Ampang antara Sentul Timur dan Sri Petaling Khamis akan bermula seperti biasa pada pukul 6.30 pagi.

Dalam insiden pukul 6.30 petang Rabu, dua tren berlanggar kira-kira 200m dari Stesen Bukit Jalil, mengakibatkan empat penumpang mengalami cedera ringan, manakala 300 lagi terselamat.

Ebi yang ditemui pemberita ketika mengiringi Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat melawat antara penumpang yang sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras di sini berkata, pihaknya akan menampung semua kos perubatan kesemua penumpang yang terlibat dalam kejadian itu.

Sementara itu Ong berkata beliau mahukan supaya laporan penuh daripada polis, pihak LRT Star, dan RapidKL berhubung insiden itu disiapkan secepat mungkin untuk diteliti pihaknya.

"Saya mahukan laporan terperinci. Jabatan kereta api di bawah kementerian Pengangkutan mempunyai kuasa untuk membatalkan lesen pengendali perkhidmatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat perubatan itu Rabu malam.

Terdahulu beliau melawat kawasan kejadian.

Ong berkata Kementerian Pengangkutan turut mempersoalkan aspek mengenai kekerapan penyelenggaraan perkhidmatan tren itu bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan baik.

Katanya daripada empat penumpang yang mengalami kecederaan ringan yang dihantar ke pusat perubatan itu, hanya seorang wanita, Ko Thin Lau, 34, masih dirawat, dan keadaannya stabil.

Sumber

Tiada ulasan: