KUALA LUMPUR, 2 Apr (Hrkh) - Semua kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah lima negeri mesti menubuhkan badan Hisbah untuk memastikan ketelusan yang disandarkan kepada sistem yang dipercayai, kata Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.
"Bukan pengisytiharan harta Exco-Exco sahaja yang boleh meningkatkan keyakinan umum terhadap kerajaan-kerajaan tersebut, tetapi yang lebih penting lagi ialah kepada siapa harta diisytiharkan dan adakah perisytiharan itu disiasat oleh badan yang bebas," kata beliau ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Mentri Besar Abdul Khalid Ibrahim tentang keputusan untuk mengisytiharkan harta Menteri Besar serta Exco-Exco kerajaan negeri itu serta keluarga mereka.
Beliau berharap badan tersebut yang dipanggil ombudsman oleh umum akan ditubuhkan dengan segera oleh kelima-lima kerajaan negeri yang berkaitan.
"Kita tidak mempersoalkan kejujuran sesiapa. Tetapi hukum alam seolah-olah menetapkan kejujuran sahaja tanpa sistem yang memelihara kejujuran itu boleh menyebabkan individu-individu yang jujur juga terperangkap dengan situasi yang mereka hadapi," jelas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Sebab itulah, satu sistem yang memelihara dan memastikan kejujuran individu yang berkaitan mesti diwujudkan melalui badan hisbah tersebut.
"Dengan adanya badan hisbah, Menteri Besar, Exco-Exco dan pegawai-pegawai kerajaan boleh mengisytiharkan harta mereka kepada badan itu.
"Bukan setakat isytihar sahaja, tetapi boleh disiasat jika badan itu berpendapat ada keraguan yang mesti dijelaskan dan seterusnya mengambil tindakan susulan," katanya.
Jika harta-harta diisytiharkan kepada Menteri Besar sahaja, katanya, ia tidak memadai untuk dilhat sebagai ketelusan yang selama ini dituntut oleh rakyat.
"Kita jangan lupa, rakyat mengundi kita kerana sudah jemu dengan janji-janji yang tidak ditunaikan oleh Barisan Nasional (BN).
"Mereka bertindak mengundi PR kerana mengharapkan ketelusan dan satu anjakan dalam pengendalian kuasa yang mereka amanahkan.
"Kita mesti buktikan bahawa tindakan mereka itu berbaloi. Worth it," kata Mahfuz.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan