Walaupun pelbagai kemungkinan yang tidak menentu melatari usaha YB Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri dan sekaligus mempunyai kuasa kerajaan persekutuan termasuk akses dalam hal ehwal pendidikan tinggi, mahasiswa meletakkan harapan yang tinggi kepada beliau selaku seorang pemimpin dan bekas aktivis mahasiswa yang dilihat konsisten dalam perjuangan menegakkan nilai keadilan sejagat dan pemulihan demokrasi yang tulen.
Antara tuntutan mahasiswa sebagaimana yang telah disampaikan oleh Pengerusi SMM, saudara Hafizudin dan diterima secara by-hand oleh YB Anwar, mahasiswa mengharapkan supaya YB Anwar, sama ada sebagai Ketua Pembangkang atau Perdana Menteri, beliau dapat terus memperjuang secara konsisten pemulihan demokrasi di Malaysia dan demokrasi kampus, pendidikan percuma dari tadika sehingga IPTA/S, pembasmian kemiskinan tegar dan penurunan harga minyak, pengurusan ekonomi yang seimbang dan anti-rasuah, dan yang paling penting dituntut mahasiswa adalah pemansuhan akta zalim ISA dan AUKU.
Walaupun salah satu tuntutan mahasiswa iaitu pilihanraya kecil P44 yang telus dan adil dilihat berjaya ditunaikan oleh pihak SPR, namun SPR mesti terus ditegur dan dipulihkan oleh YB Anwar dan kesemua ahli-ahli Parlimen ke arah memulihkan imejnya selaku badan yang independent dan bebas dari konkongan partison-interest.
Justeru, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Anwar Ibrahim di atas kemenangan lebih besar diperolehi di Permatang Pauh, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di atas pemulihan semula imej Malaysia yang lebih demokratik pasca 26 Ogos di mata media antarabangsa, juga kepada parti BN dan PKR yang telah sudi memberikan pentas kepada wakil National Student’s Coalition Movement (NASCAM) untuk membentangkan manifesto mahasiswa.
GAMIS juga merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh mahasiswa prihatin dari GAMIS sendiri, SMM, DEMA, PMN, GMMA, PKPIM, GPMS, KARISMA, TERAS, UMANY, GBMU, dan BBMN yang telah turun ke Permatang Pauh untuk berkempen dan mewujudkan gelombang kehadiran mahasiswa selaku ’suara ketiga’ dan rujukan terbaik masyarakat dalam membuat penghakiman sewajarnya pada 26 Ogos. Sesungguhnya kehadiran entiti mahasiswa di pentas kedua-dua parti yang bertanding dalam pilihanraya kecil yang menjadi tumpuan dunia ini adalah suatu sejarah baru yang akan menjadi salah satu benchmark kebangkitan mahasiswa akhir-akhir ini.
Kini tiba masanya seluruh gerakan mahasiswa tidak lagi terikut-ikut dengan rentak pergerakan mahaderas politik Malaysia menuju 16 September ini, tetapi gerakan mahasiswa mestilah mencipta gelombang tersendiri untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan demokrasi di peringkat kampus dan sekaligus memastikan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar pada masa akan datang dimenangi oleh calon-calon mahasiswa yang benar-benar mempunyai daya keprihatinan yang tinggi kepada idealisme kemahasiswaan sebagai “the third power” di Malaysia dan samping tanggungjawab asas memperjuang kebajikan mahasiswa. Dari Permatang Pauh ke Pilihanraya Kampus. Student Power !!!Muhamad Syaari Ab. Rahman,
Setiausaha Agong,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia
Diambil dari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan