KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) - Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku hari ini menyifatkan apa yang telah dinyatakan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mohamed Khaled Nordin untuk meminda Akta tersebut yang disifatkan mengongkong mahasiswa itu sebagai kosmetik politik sahaja.
Koordinatornya, Syazni Munir ketika menghubungi Harakahdaily mendakwa pihak KPT hanya membuat pindaan tersebut ke atas sesetengah bahagian di dalam Auku yang tidak menyentuh mengenai tuntutan mahasiswa sebelum ini iaitu mengenai kebebasan bersuara dan penglibatan dalam politik .
"Ia tidak lebih sekadar melepas batuk di tangga dan segala pindaan tersebut ibarat kosmetik politik bagi memperlihatkan seolah-olah KPT telah menunaikan segala permintaan mahasiswa selama ini untuk meminda Auku sejak kali terakhir ia digubal pada tahun 1971," katanya.
Tegasnya, apa yang akan dipinda dalam Auku tersebut hanyalah menyentuh mengenai kegiatan-kegiatan sosial di kampus sekaligus tidak akan meninggalkan kesan kepada mahasiswa secara umumnya.
"Jika inilah yang dikatakan keterbukaan pihak kerajaan terhadap mahasiswa maka tidak hairanlah jika banyak pihak melihat generasi mahasiswa hari ini semakin lesu dan terkongkong.
"Dan pada masa yang sama, kami merasakan mahasiswa tidak boleh lagi mengharapkan pihak menteri KPT untuk menguruskan mengenai perkara ini," tegasnya.
Malah, pihaknya akan mengusulkan cadangan Akta bagi menggantikan Auku selepas dibuat penelitian terhadap akta-akta yang berkaitan daripada negara-negara lain sebagai rujukan.
"Kita sedang menjalankan kajian mengenai akta yang berkaitan aktiviti mahasiswa di negara lain seperti Filipina, Indonesia, Korea, China dan sebagainya bagi membentuk akta yang baru menggantikan Auku," katanya lagi.
GMMA adalah sebuah lagi koalisi kesatuan mahasiswa yang terdiri daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia, Dema, Umany, Food Not Bomb, Teras dan beberapa Persatuan Mahasiswa Fakulti undang-undang di institusi Pengajian Tinggi Awam.
Syazni juga tidak menolak untuk menerima penyertaan sokongan daripada mana-mana persatuan mahasiswa yang lain dalam menyuarakan isu tersebut. -Sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan