Halaman

Isnin, 13 Julai 2009

SABAR MENGHADAPI UJIAN.........mudah sebut tetapi tak mudah buat

Diambil dari Tazkirah Ustaz Yusuf Embong

Salam sahabat-sahabat,

Sabar adalah salah satu sifat terpuji(mahmudah).
Sebut sabar mudah, tetapi nak praktik sabar tak mudah lebih-lebih lagi bila berdepan dengan keadaan sebenar. 

Suka tak suka kita kena bersabar dan terus sabar dan banyak-banyak sabar. Sabar mesti ada dalam diri kita, sabar dah jadi sebahagian kehidupan dalam mengharungi kehidupan yang penuh warna warni.

Allah S.W.T. menjadikan manusia dalam keadaan yang berbeza beza sama ada diberi kesenangan, kesusahan, kelemahan, kemiskinan, kelaparan dan sebagainya. Setiap yang diturunkan adalah untuk menguji keimanan seseorang hambaNya.

Dalam menghadapi ujian daripada Allah S.W.T., orang yang beriman menerima ujian tersebut dengan sabar dan tabah kerana mereka sedar setiap perkara yang berlaku pada dirinya adalah ketentuan daripada Allah S.W.T.

Bagi golongan yang tidak beriman, mereka akan kecewa, putus asa, menyalahkan takdir Allah S.W.T. dan sanggup melakukan kemungkaran supaya terlepas daripada kesusahan yang menimpanya. Terdapat antara mereka yang meninggalkan agama Islam kerana terpengaruh dengan agama lain yang menjanjikan kemewahan hidup di dunia.


Orang-orang mukmin yang diuji dengan berbagai-bagai kesusahan hidup di dunia dan bersabar menghadapinya akan mendapat kedudukan yang mulia disisi Allah S.W.T. Orang yang demikian beroleh pahala yang lebih tinggi daripada orang-orang yang mengerjakan ibadat lain.

Firman Allah,
maksudnya: "demi sesungguhnya Kami mennguji kamu dengan sedikit perasaan takut(kepada musuh) dan lapar (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar." surah Al-Baqarah: ayat 155

Ujian dan dugaan yang dihadapi oleh seseorang menunjukkan bahawa dirinya termasuk dalam golongan yang diberi keistimewaan oleh Allah S.W.T. Kesusahan yang ditanggung menjadi pembersih dirinya daripada berterusan melakukan perkara perkara tidak baik.

Firman Allah, maksudnya:
"apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan'Kami telah beriman' sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah S.W.T. mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta." Surah Al-Ankabut:ayat 2-3

Sabar? Cakap boleh, buat belum tentu.

Sabar ialah sifat yang mulia bagi orang-orang mukmin. Sifat tersebut membolehkan kita menghadapi apa-apayang terjadi di sekeliling. Itulah sebabnya "sabar" menjadi salah satu daripada nama-nama Tuhan yang agung (yang Maha Penyabar). Tuhan tidak akan memberi pembalasan kepada hambaNya yang melakukan kesalahan dengan segera.

TIGA JENIS SABAR
Sabar terbahagi kepada beberapa jenis antaranya termasuklah:
i.Sabar mengerjakan perintah Allah S.W.T.
ii.Sabar melawan nafsu.
iii.Sabar terhadap sebarang dugaan dan bala musibah yang menimpa diri seperti kematian, kebakaran dan lain-lain.


Setiap orang Islam hendaklah sabar mengerjakan perintah Allah S.W.T. Perintah tersebut hendaklah dikerjakan dengan sepenuh kesabaran, keikhlasan, tekun dan berkekalan.

i.Sabar menahan daripada berbuat maksiat ialah berjaya menentang segala godaan yang tidak baik terhadap dirinya. Kesabaran yang lahir kesan daripada kepercayaan dan keyakinan serta azam yang kuat untuk mencapai keredhaan Allah S.W.T.

Firman Allah, maksudnya:
"jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk." Surah Al-Baqarah ayat 45

Setiap orang mukmin hendaklah sabar terhadap segala kejadian yang tidak baik atau mala petaka yang berlaku pada dirinya sama ada harta, pangkat, kedudukan, keluarga atau sebagainya.


Bentuk ujian keatas manusia.

a.Ujian kesenangan seperti nikmat kesihatan dan kekayaan

b.Ujian kesusahan seperti kemiskinan, sakit dan sebagainya.

c.Ujian ke atas orang perseorangan

d.Ujian ke atas kumpulan, masyarakat atau jemaah.

e.Allah S.W.T. berjanji setiap orang mukmin pasti diuji oleh Allah S.W.T.



Kepentingan sabar

a.Mendapat darjat pahala yang tinggi disisi Allah S.W.T.

b.Melapangkan hati, tidak merasa runsing atau dukacita.

c.Segala urusan dunia dan akhirat menjadi mudah.

d.Mendapat berkat daripada Allah S.W.T.

e.Selamat daripada gangguan mental dan emosi.

- disusun edit daripada bahan-bahan yang tersimpan. Tk



Sumber : Blog Ustaz Yusuf Embong


Tiada ulasan: