Halaman

Memaparkan catatan dengan label Pedoman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pedoman. Papar semua catatan

Khamis, 5 Julai 2012

HUDUD

Hukum Tidak Melaksanakan Hudud Dan Non-Muslim Yang Menghalang Perlaksanaan Hudud

Hudud

Hudud dari sudut bahasa ialah sempadan, batasan atau larangan. Sehubungan itu istilah hudud adalah luas, kesemua yang disuruh serta larangan dalam Islam merupakan hudud Allah SWT iaitu batasan yang manusia tidak boleh melampaui serta mencerobohnya. Disebabkan itu mereka yang tidak mengikut batasan-batasan dalam Islam disebut sebagai orang yang melampaui batas. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Demikianlah hudud (yang dinyatakan oleh) Allah maka jangan kamu melampauinya.” - Surah Al-Baqarah : 229

Hudud dari sudut syarak ialah sebagaimana menurut majoriti ulama ialah hukuman yang telah ditentukan oleh syarak, samada ia melibatkan hak Allah atau hak hamba. Menurut Mazhab Hanafi pula ialah hukuman yang ditentukan bersifat wajib dilaksanakan kerana ia merupakan hak Allah SWT.

Namun begitu, kedua-dua pihak bersepakat bahawa hudud merupakan hukuman yang telah ditentukan oleh syarak. Dan penentuan tersebut merupakan tetap dan wajib dilaksanakan tanpa mengubahnya serta menggantikan dengan hukuman yang lain.

Pihak yang berautoriti dan mempunyai kuasa untuk menjalankan serta mengizinkan perlaksanaan hudud adalah merupakan tanggungjawab ketua negara.

Jenayah-jenayah Yang Dikenakan Hukuman Hudud

Berdasarkan kepada definisi hudud mengikut syarak, majoriti ulama meletakkan 8 kategori jenayah yang dikenakan hukuman hudud iaitu :

1- Zina
2- Peminum arak
3- Qazaf (melemparkan tuduhan zina)
4- Mencuri
5- Menyamun
6- Murtad
7- Pelampau (kumpulan yang keluar melawan pemerintah yang adil dan tidak melaksanakan kewajipan kerana mentakwil hukum berkaitan secara menyeleweng serta mempunyai kekuatan)
8- Qisas (bunuh balas ke atas pembunahan secara sengaja)

Adapun dalam Mazhab Hanafi, hudud dikenakan ke atas 5 kategori jenayah berikut :

1- Zina
2- Qazaf
3- Peminum arak
4- Peminum minuman yang memabukkan
5- Mencuri

Mazhab Hanafi tidak memasukkan hukuman ke atas jenayah murtad, qisas dan pelampau kerana ia mempunyai ruang pengampunan. Justeru, jika terdapat pengampunan maka hukuman hudud tidak dikenakan. Adapun bagi jenayah menyamun pula, Mazhab Hanafi memasukkan ia dalam kategori mencuri. Dan Mazhab Hanafi membezakan hukuman hudud bagi peminum arak dengan minuman yang memabukkan kerana mereka mengkhususkan arak bagi perahan dari anggur manakala air yang memabukkan selain perahan dari anggur bukan dalam kategori arak namun ia diasingkan ke dalam kategori minuman yang memabukkan.

Pembahagian Golongan Kafir

Perkataan non-Muslim merupakan sinonim ke atas golongan kafir iaitu mereka yang bukan beragama Islam. Non-Muslim ini terbahagi kepada 4 golongan iaitu :

1- Harbi iaitu golongan kafir yang memusuhi Islam dan memerangi Islam. Termasuk dalam konteks memerangi Islam ialah menghalang gerak kerja Islam dan menyekat agenda Islam. Maka umat Islam wajib memeranginya dan mempertahankan Islam daripada serangan-serangan yang dilakukan. Maka mereka diperangi disebabkan mereka melakukan kezaliman dan memerangi Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Diizinkan berperang kerana mereka itu dizalimi dan sesungguhnya Allah mempunyai kuasa ke atas kemenangan. Mereka yang dizalimi tersebut ialah mereka yang dihalau dari rumah-rumah mereka tanpa hak.” – Surah Al-Haj : 39-40

2- Zimmi iaitu golongan kafir yang menetap di negara Islam dan mereka bernaung di bawah pemerintahan Islam. Golongan ini diberikan hak perlindungan dan mendapat keistimewaan sebagaimana masyarakat Islam selama mana mereka menjalankan tanggungjawab mereka dan tidak memberikan ketaatan kepada musuh Islam.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang menyakiti kafir zimmi, maka seolah-olah dia telah menyakiti ke atas aku.”[1]

3- Mu’ahad iaitu golongan kafir yang mengadakan perjanjian dengan pihak Islam. Maka dijaga hak mereka selama mana mereka tidak mencabuli perjanjian yang telah dipersetujui. Sebagaimana perjanjian Hudaibiyah antara pihak Islam dengan pihak musyrikin Mekah.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Wahai orang yang beriman, sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” – Surah Al-Maidah : 1

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan khabarkanlah (wahai Muhammad) kepada orang kafir dengan azab yang pedih. Melainkan orang yang kamu mengadakan perjanjian daripada kalangan orang muyrik kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikit pun, dan mereka tidak menolong seorang pun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga habis tempoh perjanjian.” – Surah At-Taubah : 3-4

4- Musta’man ialah golongan kafir yang datang meminta perlindungan daripada pihak Islam. Maka sepanjang persetujuan diadakan dan mereka tidak berpaling tadah, maka hak-hak mereka dijaga.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan jika ada seseorang daripada kalangan musyrik yang datang meminta pertolongan dan perlindungan kepadamu, maka berikanlah perlindungan kepadanya.” – Surah At-Taubah : 6

Hukum Tidak Melaksanakan Hukuman Yang Ditetapkan Oleh Allah SWT

Allah SWT menyifatkan mereka yang tidak melaksanakan hukuman berdasarkan apa yang telah diperintahkan adalah golongan kafir, zalim dan fasik. Hal ini dinyatakan secara jelas dalam 3 ayat berikut.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” - Surah Al-Maidah : 44

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.” - Surah Al-Maidah : 45

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik. - Surah Al-Maidah : 47
Berdasarkan kepada 3 ayat di atas maka ulama telah meletakkan batasan terhadap permasalahan mengenai hukum tidak melaksanakan syariat Islam atau hanya melaksanakan sebahagian sahaja. Batasan-batasan[2] tersebut ialah :
- Ingkar bahawa wajibnya melaksanakan syariat Islam. Mempercayai bahawa hukum Allah tidak wajib untuk dilaksanakan.
- Melaksanakan hukum selain Allah kerana untuk menentang syariat Islam.
- Yakin serta pasti bahawa melaksanakan undang-undang selain hukum Allah SWT adalah lebih relevan dan sesuai dengan zaman berbanding dengan syariat Islam
- Yakin bahawa menjalankan hukum selain Allah adalah sama taraf dengan syariat Islam. Merujuk kepada pluralisme yang menganggap semua agama sama. Maksudnya tidak ada masalah samada hendak laksanakan syariat Allah atau selain syariat Allah, kerana yang penting ialah maslahat bagi manusia.
- Mempercayai bahawa harus atau tidak haram melaksanakan undang-undang yang bercanggah dengan syariat Islam.
Maka, mana-mana pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Allah SWT disebabkan salah satu daripada batasan-batasan di atas maka dia dihukum kafir iaitu telah terkeluar daripada Islam. Hal ini demikian kerana batasan-batasan jelas bercanggah dengan akidah Islam. Adapun jika tidak melaksanakan syariat Islam disebabkan perkara selain daripada batasan-batasan yang digariskan di atas, maka ia tergolongan dari kalangan orang yang zalim dan fasik, bukan kafir.

Maka inilah pendapat yang dipegang oleh majoriti ulama dalam membezakan tahap golongan yang kafir, zalim serta fasik dalam permasalahan tidak melaksanakan syariat Islam.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, maka pihak MANHAL PMRAM menegaskan beberapa perkara :

1- Hukuman jenayah hudud merupakan hak Allah SWT dan ia wajib dilaksanakan. Ketua Negara wajib membenarkan dan mengizinkan perlaksanaan hukuman jenayah hudud. Semua pihak wajib membantu melaksanakannya.
2- Hubungan Umat Islam dengan non-Muslim adalah dilihat kepada sikap mereka. Non-Muslim yang termasuk dalam golongan kafir harbi adalah wajib diperangi. Dengan erti kata ialah haram bekerjasama dengan mereka dan tidak memberikan mereka kuasa (dengan mengundi mereka) untuk mereka memerintah. Hal ini demikian kerana mereka merupakan musuh Islam dan menghalang gerak kerja Islam.
3- Allah SWT menjelaskan 3 jenis bagi mereka yang tidak melaksanakaan perlaksanaan hukuman Allah SWT antaranya hukuman jenayah hudud samada termasuk dalam golongan kafir, zalim atau fasik. Maka kategori tersebut dilihat kepada batasan-batasan yang telah dinyatakan di atas.
4- Ketua negara bertanggungjawab di hadapan Allah SWT sekiranya negara yang mereka pimpin tidak melaksanakan hukuman Allah SWT.

Wallahu a’lam

Disediakan oleh :

Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :
1- Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh, jilid ke-7, oleh Dr Wahbah az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr
2- Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama’ al-Islami, oleh Dr Yusuf al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
3- Ar-Riddah Wa ‘Uqubatuha, oleh Dr Yusuf al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
4- Al-Khilafah al-Islamiyah Wa Qadhiyah al-Hukm Bima Anzala Allah, oleh Dr Shadiq Syeif Nukman, cetakan Dar as-Salam

[1] Riwayat at-Tabrani dalam Ausat الأوسط dengan sanad martabat hasan
[2] Dr Shadiq Syeif Nukman, al-Khilafah al-Islamiyah Wa Qadhiyah al-Hukm Bima Anzala Allah, cetakan Dar as-Salam, m/s 319

Kisah Syria

SYRIA

-Dahulunya adalah termasuk dalam daerah yang digelar Syam. Selain dari syria, Lubanan,palestin dan jordan juga adalah negeri syam suatu masa dahulu.

- 75% adalah Ahli sunnah wal jamaah , 11% Syiah Nusairi dan baki 9% adalah kristian


- Syria adalah negara bekas jajahan Perancis bermula tahun 1920


Hafez

- Mengikut kiraan, lebih kurang 7 kali rampasan kuasa semenjak apabila Perancis meninggalkan Syria dalam keadaan tidak stabil, hinggalah kuasa pemerintahan dapat kepada Hafez al-Assad (Ayah kepada Bashar).

- Hafez Al-Assad adalah menganut fahaman Syiah Nusairi.

- Sepanjang tempoh Hafez al-Assad berkuasa di Syria, Rekod Kekejaman dirinya boleh dikatakan lebih teruk berbanding kekejaman Ariel Sharon (laknatullah). 

- Satu wilayah dalam syria yang bernama Hama, mencatatkan kematian 10,000 - 40,000org dalam masa 27hari, operasi yang diketuai oleh Rifa'at Asad (Adik Hafez Asad). tarikh operasi 2 hingga 28 februari 1982. Manakala di khemah pelarian Palestin di Lubnan mencatatkan kematian 3,500 - 5,000org dalam masa 3hari, operasi yang diketuai oleh Ariel Sharon. tarikh operasi 16 hingga 18 september 1982.

Bassel Al-Assad

Rifaat

-Pada awalnya, Hafez al-assad ingin menyerahkan kuasanya kepada anak sulungnya iaitu Bassel Assad. Disebabkan perwatakan Bassel agak berlainan berbanding mereka semua, maka Hafez telah mengatur rancangan untuk membunuh anak sulungnya itu. Bassel dikatakan lebih cenderung meminati tokoh-tokoh agama dan juga cenderung kepada agama. Komplot telah dirancang dan akhirnya Bassel meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada tahun 1994 sewaktu beliau dalam perjalanan dari Damaskus menuju bandar al-Mazah.

Bashar


- Dan sehingga sekarang, syria masih lagi dibawah kekuasaan Bashar al-assad yang menjalankan secara Kuku Besi. Pembunuhan demi pembunuhan dilakukan. Manipulasi media sangat hebat bagi menutup kekejaman yang telah mereka lakukan....

Sampaikan, ada dikalangan askar Rejim ini berpaling tadah. kerana tidak sanggup lagi untuk melakukan pembunuhan terhadap mereka yang tidak berdosa.

-"kumpulan tentera Syria Bebsa" adalah kumpulan yg berpaling tadah daripada kekejaman Rejim Bashar. Dianggarkan, seramai 20,000-60,000 org tentera bersama dengan kumpulan ini menentang Rejim Bashar.

- Antara negara yang memberikan sokongan kepada Rejim Bashar adalah Iran, Russia dan China.

Sumber : Travelog Luka Air Mata Syria, Ust Riduan Mohamad Nor

Khamis, 7 Januari 2010

PALESTIN- Sudah 2 Minggu Bekalan Makanan Tersangkut



Keadaan umat Islam di Gaza, Palestin, sangat menyedihkan khususnya setelah distribusi bantuan makanan bagi rakyat Palestin di Jalur Gaza dihentikan PBB dengan alasan kekurangan bahan bakar.

Orang-orang Palestin telah berada dalam kesulitan untuk mendapatkan makanan sejak Palestina diduduki pada tahun 1946. Di beberapa kem pelarian, ada yang memakan rumput.

Badan PBB yang mengelola distribusi bantuan, UNRWA, menghentikan pengiriman bantuan makanan ke Gaza dua minggu lalu kerana kenderaan mereka mengalami kekurangan bahan bakar. Lebih dari 80% penduduk Gaza mengandalkan bantuan kemanusiaan, dengan pasukan makanan dari PBB memenuhi keperluan 1.5 juta orang. Sebahagian besar dari mereka adalah kanak-kanak


Cris Gunness, juru bicara UNRWA mengatakan bahwa bantuan kepada 650.000 orang mesti dihentikan sementara. Israel benar-benar kejam, setelah tanah Palestin dirampas, mereka membiarkan orang-orang Islam Palestin hidup dalam kesengsaraan dan kelaparan.


Sampai bila situasi menyedihkan dan mengiriskan ini berlangsung? Sementara ada sebahagian orang Arab yang merancang membeli seorang penyerang bolasepak asal Sepanyol bernama Fernando Torres dengan tawaran yang—ehm, bisa mengurut dada—Rp 2.2 trilyun! (sa/poj)

SUMBER

Khamis, 24 Disember 2009

Cinta Dan Air Mata..





Assalamualaikum,

Alhamdulillah malam semalam, Selasa 24.3.09 saya dapat mendengar penyampaian dari Puan Rasya Al Adlouni (Ummu Muhammad) yang merupakan isteri kepada As Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi di Masjid Negeri Shah Alam.

Melihat kepada kekuatan ucapannya dengan suaranya yang begitu bersemangat sambil berdiri terasa seolah-olah yang berucap itu adalah As Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi sendiri. Itulah tarbiyah yang telah dilaksanakan oleh Dr Abdul Aziz kepada isterinya yang akan meneruskan usaha-usaha dakwah dan jihad di Palestin walaupun beliau telah pergi menemui Allah swt dalam keadaan "Hidup Dan Mendapat Rezeki DariNYA".

Puan Rasya Al Adlouni adalah simbol kegigihan wanita Gaza yang telah membuktikan bahwa semangat dan kekuatan wanita yang beriman benar-benar boleh kita jadikan contoh tauladan bagi kaum wanita di negara2 umat Islam lain. Walaupun umurnya sudah 55 tahun dan kini mempunyai 20 orang cucu, beliau masih mampu berdakwah dan menyampaikan kebenaran tanpa ditimpa oleh perasaan lemah dan gentar. Marilahkita menelusuri jejak dan kekuatan wanita2 di Gaza yang sentiasa melahirkan pejuang2 dan mujahid2 yang akan membebaskan bumi Palestin dari penjajahanIsrael.Inilah kisah sebuah bangsa di atas sejengkal Tanah Suci.

Penduduk Syam yang merangkumi Palestin, Lebanon, Syria dan Jordan memang penduduk yang mempunyai sifat keteguhan. Banyak peristiwa yang pernah berlaku di sana dan akan banyak lagi yang kelak akan berlaku di sana di akhir zaman ini. Semua kita harus belajar dari peristiwa ini terutama umat Islam. Semua segi harus menjadi pelajaran termasuk dari sisi kemanusiaan sebagai wanita.

Tahun baru 2009 dimulai dengan kisah duka bagi umat Islam iaitu peperangan di Gaza. Pemandangan yang sangat memilukan. Namun Allah swt menjadikan peristiwa Gaza bukan sekadar untuk menjadi tontonan television dan bualan para wartawan untuk bulan tersebut.



Apa yang kita dengar dari berita:

1. Seorang ibu dari keluarga Samouni di Gaza melahirkan anaknya di tengah-tengah suasana pengeboman.

2. Seorang wanita mengatakan: "Tidak, tanah ini milik kami, apapun yang mereka lakukan tanah ini milik kami, kami akan tetap menentang mereka (Yahudi)."

3. Seorang wanita muda pergi ke kedai roti untuk membeli roti dan terpaksa beratur berjam-jam di tengah-tengah ledakan bom di Gaza. Ketika ditanya oleh wartawan mengapa ia tetap pergi ke kedai roti padahal ia dalam keadaan tidak selamat, ia menjawab: "Tinggal di rumahpun kami dibom sedangkan saya perlu membeli roti untuk keluarga di rumah, jadi saya perlu laluinya juga. kita hanya mati sekali."

4. Selama 22 hari perang, Israel berjaya membunuh 600 orang anak-anak Gaza dari lebih 1,300 mangsa yang meninggal, tapi selama masa itu pula lahirnya 3,500 bayi baru. Ramai wanita Gaza yang melahirkan kembar samada kembar dua atau kembar tiga.

Sungguh luar biasa, hanya sehari sesudah kedua pihak menyatakan gencatan senjatanya masing-masing, polis lalu lintas sudah bertugas di jalan-jalan di Gaza, bahkan sekolah dibuka kembali kurang dari seminggu sesudah itu. Para murid saling menyapa ketika pertama kali berjumpa: "Hai kamu masih hidup ya?"

Wilayah ini sudah tidak mempunyai bangunan parlimen, tidak mempunyai balai polis (walaupun anggota polisnya bertugas) dan seluruh bangunan pemerintah sudah hancur dibom bahkan masjid-masjid dan hospital serta sekolah tidak luput dari pengeboman.

Infrastrukturnya boleh dikatakan sudah hancur tetapi ternyata struktur masyarakatnya tidak hancur, sistem sosialnya tidak terhapus bersama bangunan-bangunanny a. Solat berjamaah tetap dilaksanakan di tengah-tengah hujan bom di antara runtuhan bangunan dan masjid. Bahkan masjid mengumpulkan dana dari sebahagian jama'ah yang masih mempunyai sesuatu untuk disumbangkan kepada jiran tetangganya yang lebih memerlukan. Inilah sebuah bangsa yang mempunyai daya tahan yang amat tinggi.

Jangan lupa, sebelum peperangan, Israel sudah mencekik Gaza dengan sekatan selama hampir 2 tahun dan itu menyebabkan semua penduduk Gaza mengalami kekurangan makanan kerana sukarnya untuk mendapatkan bahan makanan di samping harganya yang melambung tinggi.

Dengan berita-berita seperti di atas kita telah mendapatkan gambaran betapa anak-anak Palestin dari generasi ke generasi telah ditempa oleh ujian berat dengan pelindung mereka yang tetap teguh yang terdiri dari para ibubapa terutama para ibu yang tetap menggenggam prinsip kesabaran di tengah-tengah ujian yang amat berat itu.



Kita boleh meninjau beberapa kriteria yang menambah kesabaran mereka iaitu:

1. Tidak lemah mental mereka
2. Tidak lemah penampilan mereka

3. Tidak lemah aktiviti mereka

Dari berita-berita yang diterima, para wanita Gaza tidak lemah mental mereka dan tidak akan mengalah kepada penjajah Israel, di mana kebanyakan mereka berpandangan bahwa perjuangan menentang penjajahan tetap akan diteruskan. Tidak ada yang gementar ketakutan ketika mendengar deruan pesawat pengebom di atas kepala mereka. Jika ditanya, mereka berkata dengan nada tegas bahwa mereka tidaktakut kepada tentera Israel dan akan melawan dengan senjata alat dapur, jika berhadapan secara terus. Inilah di antara tanda tidak wujudnya kelemahan mental di kalangan mereka.

Selain itu mereka tidak lemah penampilan di mana nampak jelas bahwa mereka tetap tegak ketika diwawancara oleh para wartawan, bahkan mereka masih boleh menyuarakan kekecewaan mereka kepada para pemimpin Arab yang tidak membantu mereka. Bahkan ada yang menunjukkan tangan ke arah kamera. Sikap tubuh mereka jelas menunjukkan bahwa mereka tidak lemah penampilan walaupun sesetengahnya dalam keadaan cedera dan menanggung kesakitan.

Mereka juga tidak lemah dalam aktiviti mereka di mana walaupun tersisa sedikit kesempatan, mereka terus menjalankan aktiviti mereka samada ke pasar berjual beli, memakamkan ahli keluarga dan kerabat sehingga sempat pula bersilaturahim sesama saudara mereka di pasar. Di tengah-tengah aksi pengeboman, mereka sanggup beratur untuk membeli roti dengan mempertaruhkan nyawa mereka. Bahkan adaseorang ibu yang melahirkan anak di tengah-tengah pengeboman dengan hanya dibantu oleh ibunya dengan menggunakan lilin di malam hari.

Berikut adalah beberapa kesimpulan yang dapat dibuat:

1. Wanita Gaza adalah wanita yang sabar, ujian apapun yang menimpa tidak membuatkan mereka gentar ketakutan berbeza dengan wanita Yahudi di Selatan Israel yang sehingga perlu dibawa ke hospital kerana "stress" atau tekanan mental menghadapi roket2 Hamas.

2. Ketabahan mereka ternyata didasari oleh iman dan ketaqwaan kepada Allah swt. Kita melihat mereka mengekang perasaan kesedihan mereka dengan berdoa mengangkat tangan kepada Allah swt mengutuk kekejaman Israel ketika menghadapi keadaan di mana rumah mereka hancur dan ahli keluarga yang terkorban.

3. Kuatnya keganasan dan permusuhan Yahudi justeru membuatkan mereka tetap tegak, teguh dan menentang. Penentangan wanita Gaza bukan dengan mengangkat senjata, tetapi dengan menunjukkan keteladanan dalam sikap berani menghadapi kenyataan peperangan yang keras dan kejam ini di hadapan anak-anak mereka.

Nampak dari raut wajah mereka yang meskipun terurai dengan airmata tapi tetap berwajah tegar manakala anak-anak mereka menatap setiap bentuk bahasa badan ibu-ibu mereka.

Pendidikan apa lagi yang terbaik dan paling efektif selain dari pendidikan menzahirkan keteladanan dalam kesabaran?.



Cubalah kita amati bahasa tubuh mereka ketika diwawancara oleh para wartawan, baik semasa perang mahupun sesudahnya di mana keadaan mereka cukup tenang ketika menceritakan pengalaman mereka.

Kaum wanita di Gaza tidak sesekali menyukai peperangan, namun jika peperangan merupakan takdir bagi bangsanya, kaum wanitalah yang memikul beban berat sebagai mangsa korban. Merekalah yang pertama sekali merasakan sukarnya hidup seharian di tengah-tengah suasana perang bermula dari persoalan mencari keperluan sehari-hari hingga kepada usaha menenangkan anak-anak mereka yang ketakutan.

Belum lagi ditambah dengan jumlah mangsa korban utama sebagaimana di Gaza ini kerana senjata perang Israel sentiasa mengejar wanita dan anak-anak walaupun di tempat-tempat penginapan mereka..

Bagi bangsa yang terjajah dan dizalimi seperti ini, masa depan bangsanya terletak di bahu mereka. Kaum wanita Gaza tidak seharusnya menunjukkan kelemahan mental, ketakutan yang menimbulkan perasaan menyerah kepada musuh atau kelemahan aktiviti yang menyebabkan mereka tidak lagi dapat bergerak menjalani kehidupan mereka.

Jika sikap-sikap kelemahan tersebut yang dilihat oleh anak-anak mereka pada hari ini, maka kita dapat bayangkan bahwa dalam masa 10 tahun ke hadapan, wilayah yang sekarang ini bernama Gaza mungkin akan berdirinya bandar-bandar pelancongan Israel dengan nama Yahudi sebagaimana nama Ashdod, Ashkelon, Sderot, Kiryat Shimona dan lain-lain.

Ini kerana jika mereka (kaum wanita Gaza hari ini) lemah, maka anak-anak mereka akan tumbuh menjadi penakut dan mempunyai sikap mudah menyerah tetapi Alhamdulillah sekarang mereka tetap teguh dan InsyaAllah sampai hari Qiamatpun bangsa Yahudi tidak akan dapat merasa tenang dengan kezalimannya kerana akan sentiasa ada yang menentang mereka dari satu generasi ke generasi Palestin yangbaru.

Inilah yang seharusnya kita belajar daripada mereka..

Sumber

Selasa, 20 Oktober 2009

Isnin, 13 Julai 2009

SABAR MENGHADAPI UJIAN.........mudah sebut tetapi tak mudah buat

Diambil dari Tazkirah Ustaz Yusuf Embong

Salam sahabat-sahabat,

Sabar adalah salah satu sifat terpuji(mahmudah).
Sebut sabar mudah, tetapi nak praktik sabar tak mudah lebih-lebih lagi bila berdepan dengan keadaan sebenar. 

Suka tak suka kita kena bersabar dan terus sabar dan banyak-banyak sabar. Sabar mesti ada dalam diri kita, sabar dah jadi sebahagian kehidupan dalam mengharungi kehidupan yang penuh warna warni.

Allah S.W.T. menjadikan manusia dalam keadaan yang berbeza beza sama ada diberi kesenangan, kesusahan, kelemahan, kemiskinan, kelaparan dan sebagainya. Setiap yang diturunkan adalah untuk menguji keimanan seseorang hambaNya.

Dalam menghadapi ujian daripada Allah S.W.T., orang yang beriman menerima ujian tersebut dengan sabar dan tabah kerana mereka sedar setiap perkara yang berlaku pada dirinya adalah ketentuan daripada Allah S.W.T.

Bagi golongan yang tidak beriman, mereka akan kecewa, putus asa, menyalahkan takdir Allah S.W.T. dan sanggup melakukan kemungkaran supaya terlepas daripada kesusahan yang menimpanya. Terdapat antara mereka yang meninggalkan agama Islam kerana terpengaruh dengan agama lain yang menjanjikan kemewahan hidup di dunia.


Orang-orang mukmin yang diuji dengan berbagai-bagai kesusahan hidup di dunia dan bersabar menghadapinya akan mendapat kedudukan yang mulia disisi Allah S.W.T. Orang yang demikian beroleh pahala yang lebih tinggi daripada orang-orang yang mengerjakan ibadat lain.

Firman Allah,
maksudnya: "demi sesungguhnya Kami mennguji kamu dengan sedikit perasaan takut(kepada musuh) dan lapar (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar." surah Al-Baqarah: ayat 155

Ujian dan dugaan yang dihadapi oleh seseorang menunjukkan bahawa dirinya termasuk dalam golongan yang diberi keistimewaan oleh Allah S.W.T. Kesusahan yang ditanggung menjadi pembersih dirinya daripada berterusan melakukan perkara perkara tidak baik.

Firman Allah, maksudnya:
"apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan'Kami telah beriman' sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah S.W.T. mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta." Surah Al-Ankabut:ayat 2-3

Sabar? Cakap boleh, buat belum tentu.

Sabar ialah sifat yang mulia bagi orang-orang mukmin. Sifat tersebut membolehkan kita menghadapi apa-apayang terjadi di sekeliling. Itulah sebabnya "sabar" menjadi salah satu daripada nama-nama Tuhan yang agung (yang Maha Penyabar). Tuhan tidak akan memberi pembalasan kepada hambaNya yang melakukan kesalahan dengan segera.

TIGA JENIS SABAR
Sabar terbahagi kepada beberapa jenis antaranya termasuklah:
i.Sabar mengerjakan perintah Allah S.W.T.
ii.Sabar melawan nafsu.
iii.Sabar terhadap sebarang dugaan dan bala musibah yang menimpa diri seperti kematian, kebakaran dan lain-lain.


Setiap orang Islam hendaklah sabar mengerjakan perintah Allah S.W.T. Perintah tersebut hendaklah dikerjakan dengan sepenuh kesabaran, keikhlasan, tekun dan berkekalan.

i.Sabar menahan daripada berbuat maksiat ialah berjaya menentang segala godaan yang tidak baik terhadap dirinya. Kesabaran yang lahir kesan daripada kepercayaan dan keyakinan serta azam yang kuat untuk mencapai keredhaan Allah S.W.T.

Firman Allah, maksudnya:
"jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk." Surah Al-Baqarah ayat 45

Setiap orang mukmin hendaklah sabar terhadap segala kejadian yang tidak baik atau mala petaka yang berlaku pada dirinya sama ada harta, pangkat, kedudukan, keluarga atau sebagainya.


Bentuk ujian keatas manusia.

a.Ujian kesenangan seperti nikmat kesihatan dan kekayaan

b.Ujian kesusahan seperti kemiskinan, sakit dan sebagainya.

c.Ujian ke atas orang perseorangan

d.Ujian ke atas kumpulan, masyarakat atau jemaah.

e.Allah S.W.T. berjanji setiap orang mukmin pasti diuji oleh Allah S.W.T.



Kepentingan sabar

a.Mendapat darjat pahala yang tinggi disisi Allah S.W.T.

b.Melapangkan hati, tidak merasa runsing atau dukacita.

c.Segala urusan dunia dan akhirat menjadi mudah.

d.Mendapat berkat daripada Allah S.W.T.

e.Selamat daripada gangguan mental dan emosi.

- disusun edit daripada bahan-bahan yang tersimpan. Tk



Sumber : Blog Ustaz Yusuf Embong


Rabu, 24 Jun 2009

Ahlan Ya Rajab


Alhamdulillah sedar tidak sedar kita kini telah hampir dengan bulan Rejab, bulan ini adalah antara bulan haram yang sentiasa dihormati semenjak dahulu lagi. Bulan Rejab pernah mencatatkan beberapa peristiwa penting dalam kalendar umat Islam terutama yang paling masyhur dan diingati ramai ialah pada bulan ini telah berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj.

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Peristiwa yang telah menatijahkan banyak perkara pada umat Islam. Khususnya kewajipan mengerjakan solat lima waktu kepada seluruh umat Islam.. selepas berlalunya tahun kesedihan bagi nabi Muhammad dengan kematian insan yang tersayang Allah telah mengembirakan Baginda dengan peristiwa bersejarah ini.

Segalanya berlaku hanya dalam tempoh sepertiga malam, dari Makkah nabi dibawa ke Masjid Al-Aqsa menaiki buroq kemudian di mi'rajkan ke sidratul muntaha bertemankan malaikat Jibril. Satu peristiwa yang amat menakjubkan melampaui batasan akal fikiran manusia biasa. Namun dengan keimanan yang kuat yang kental kita wajib percaya akan peristiwa yang berlaku kerana tiada apa yang mustahil bagi Allah SWT..

Terdapat pelbagai peristiwa disepanjang perjalanan Baginda, antaranya baginda telahpun diperlihatkan akan umur dunia dengan kelibat seorang yang sangat tua. Banyangkan pada ketika nabi diperjalankan pun sudah sedemikian rupa umur dunia apatah lagi pada waktu kini, sudah pasti kita sudah terlalu hampir dengan ketibaan hari kiamat.

Tidak ketinggalan juga untuk umat Islam mengingati suatu lagi peristiwa yang amat penting ialah peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H. Peperangan Tabuk meletus apabila Rasulullah s.a.w menerima berita tentang pembunuhan Farwah bin 'Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma'an.

Beliau telah dibunuh dengan disalib dan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan merupakan wakil kepada nabi Muhammad S.A.W di dalam mengerjakan dakwah Islamiah di sana. Setelah mendapat tahu tentang pembunuhan yang kejam itu lalu Rasulullah S.A.W dalam masa yang singkat telah mengerahkan agar para tentera Islam untuk keluar berjihad ke Tabuk.

Rasulullah telah menjelaskan kepada mereka tujuan tersebut secara terang-terangan dan baginda berjaya mengumpulkan sebanyak 30 000 orang tentera. Ini merupakan suatu tindakan tegas yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam menjaga maslahat umat Islam daripada dirobek dan dilanggar sesuka hati oleh musuh Islam.

Dalam peperangan Tabuk ini tidak berlaku pertempuran yang besar kerana tentera musuh lebih dahulu berundur diri. Kemenangan yang agak mudah walau pun tentera muslim menghadapi banyak kesukaran ketika mahu keluar ke Tabuk ini telah digunakan sebaiknya oleh Rasulullah s.a.w dengan meluaskan pengaruh dakwah kepada raja-raja sekitar kawasan tersebut serta menghantar beberapa orang pendakwah untuk menyampaikan dakwah ke kawasan yang lebih jauh.

Oleh itu fahamlah kita bahawa peperangan dalam islam bukanlah untuk mencetuskan keganasan mahupun membalas dendam akan tetapi adalah bertujuan untuk menjaga maslahat umat islam daripada diperbodohkan serta diceroboh dengan sesuka hati oleh musuh islam, juga untuk melaksanakan misi dakwah kepada pemerintah yang dapat menerima islam.

Dan diantara peristiwa lain yang dapat kita selami dengan kedatangan bulan rejab ini ialah peristiwa hijrah umat Islam yang pertama ke Habsyah (Ethiopia). Pada ketika awal penyebaran Islam di Makkah kaum musyrikin banyak memberikan tekanan hidup kepada kaum muslimin. Mereka telah diseksa, dipulau, dicaci dan sebagainya. Hal ini menyebabkan terdapat dikalangan sahabat yang mengadu pada Rasulullah akan penderitaan yang mereka hadapi.

Lalu baginda memerintahkan mereka agar berhijrah ke Habsyah, ini bertujuan untuk menjaga keteguhan iman mereka disamping mencari tapak baru dalam proses mengembankan dakwah Islamiyah. Antara sahabat yang terlibat dalam penghijrahanini ialah saidina Othman bersama isteri beliau dan beberapa orang muslimin yang lain. Jumlah mereka adalah 14 orang lelaki dan 4 orang wanita..

Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab. Said menjawab: "Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: "Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa." (Sahih Muslim)

Perbanyakkanlah amalan seharian kita, semoga dengan kedatangan bulan yang dipenuhi dengan pelbagai kelebihan ini dapat kita manfaatkan sebaik yang mungkin. Tidak lama lagi kita akan bertemu dengan bulan yang penuh dengan keberkatan iaitu bulan Ramadhan. Berbaki 2 bulan lagi ini persiapkanlah diri kita sebaik yang mungkin agar kita dapat menjalani ibadah yang sempurna dalam Ramadhan yang mulia nanti..

YA ALLAH YA TUHAN KAMI BERKATILAH KAMI DI DALAM BULAN REJAB DAN SYABAN DAN BERIKANLAH KAMI REZEKI UNTUK MERASAI AKAN NIKMAT RAMADHAN..AMINN


Petikan dari : Yahoo Group baitul_irfan07

Sabtu, 13 Jun 2009

Jom Merenung sekejap...


Dalam risalah 'Antara Masa Lalu dan Masa Kini' dalam tajuk "Ranjau-Ranjau Di Perjalanan" Imam Hasan al-Banna telah mengatakan:


"Saya ingin terus terang menyatakan kepada kamu, bahawa hari ini dakwah kamu ini masih belum dikenali orang ramai. Apabila mereka mengetahui dan memahami matlamat dan tujuan dakwah ini kamu akan menerima permusuhan dan pertarungan yang sengit dari mereka. Kamu akan mendapati di hadapan kamu kesukaran-kesukaran dan kamu akan dihalangi oleh ranjau-ranjau.

Hanya pada ketika itulah sahaja kamu baru mula mengikuti jalan para pendukung dakwah... adapun sekarang ini, kamu masih belum dikenali, kamu masih dalam peringkat membuat persediaan untuk dakwah dan bersedia untuk menghadapi perjuangan dan jihad yang dituntut oleh dakwah.

Kejahilan umat tentang hakikat Islam akan tegak sebagai rintangan di pertengahan jalan, kamu akan mendapati ahli agama yang terdiri daripada ulamak rasmi akan memandang ganjil pemahaman kamu terhadap Islam dan mengingkari jihad yang kamu lakukan untuk memperjuangkan kefahaman kamu itu.

Para pemimpin, ketua-ketua orang yang rindukan kemegahan dan kekuasaan akan menaruh dendam kesumat terhadap kamu. Kesemua bentuk pemerintah akan tegak serentak menghadapi kamu, semua kerajaan akan berusaha membatasi kegiatan kamu dan meletakkan rintangan-rintangan di jalanmu."


"Penyamun-penyamun ini akan memasang perangkap dengan apa cara sahaja untuk dapat menentang kamu dan memadamkan sinar dakwah kamu. Dalam usaha-usaha mereka ini mereka akan menggunakan kerajaan-kerajaan yang lemah, akhlak yang rendah dan tangan-tangan yang sentiasa menadah sesuatu dari mereka tetapi melakukan kejahatan dan permusuhan terhadap kamu."


"Kesemua mereka akan menaburkan salah faham dan tuduhan-tuduhan kabur terhadap dakwah kamu dan mereka akan terus berusaha untuk melemparkan tuduhan yang mengatakan bahawa dakwah kamu itu tidak sempurna, tempang dan songsang, sekalipun mereka melemparkan tuduhan-tuduhan itu dengan cara yang paling kotor, menggunakan kekuatan dan kekuasaan mereka, berlaku zalim dengan menggunakan harta kekayaan dan kedudukan mereka.


Firman Allah:


"Mereka ingin hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahayanya sekalipun orang-orang kafir benci." (Ash-Shaff: 8)

"Tidak syak lagi kamu akan mengharung dan menghadapi perkara-perkara tersebut dalam peringkat ujian dan cubaan, kamu akan ditangkap, dipenjara, dibuang daerah, dipindah dan diporak-perandakan. Segala kepentingan-kepentingan kamu akan dirampas, kerja-kerja kamu akan dibekukan dan rumah-rumah kamu akan digeledah. Boleh jadi masa ujian ini kamu lalui dalam satu jangka waktu yang panjang.

Firman Allah : 


'Apakah manusia itu menjangka bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: "Kami telah beriman," sedang mereka tidak diuji." (Al-Ankabut: 2)

"Tetapi ingatlah bahawa setelah ujian-ujian ini Allah telah menjanjikan akan memberikan pertolongan kepada para mujahidin dan ganjaran bagi mereka yang beramal dan berbuat baik.

Firman Allah:


"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih, (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu, itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahuinya, nescava Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga `Adnin. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang hampir (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.


Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana Isa putra Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Para pengikutnya yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong (agama) Allah, lalu segolongan dari Bani Israel beriman dan segolongan (yang lain) kafir. Maka kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang." (Ash-Shaff: 10-14)



"Tidakkah kamu akan tetap pendirian untuk menjadi ansarullah?"

Ahad, 21 September 2008

Antara kemanisan dalam Bulan Ramadhan..

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah...tuhan sekalian 'alam, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. beserta ahli keluarga baginda, para sahabat, para tabi' dan tabi'in serta seluruh kaum muslimin dan muslimat yang hidup ataupun yang telah meninggalkan dunia ini..

Alhamdulillah.. kita telah dikurniakan nikmat yang paling besar iaitu nikmat Islam dan Iman. Sekali lagi marilah kita mengucapkan syukur kerana masih lagi diberikan kesempatan untuk berada dalam bulan yang pebuh barakah ini iaitu bulan Ramadhan....

Seperti biasa, ana ingin berkongsi apa yang ana dapat didalam sesi tazkirah yang ana ikuti sekitar bulan ramadhan ini....


KEMANISAN DARIPADA RAMADHAN YANG KITA LALUI


1)KEMANISAN TAQWA
- Dalam bulan ramadhan nih, kita boleh merasa kemanisan taqwa yang mana, susah untuk dapatinya didalam bulan lain.
- Jika tiada taqwa dalam diri manusia, orang yang sihat pon belum tentu lagi boleh mengerjakan ibadah. Sedangkan kalau kita lihat, orang yang sakit bermacam-macam jenis pon boleh mengerjakan ibadah. (^_^) ini adalah kerana mereka memiliki taqwa.




2)KEMANISAN MERASA KEHADIRAN/ PEMERHATIAN DARIPADA ALLAH S.W.T.
- Ia adalah suatu kemanisan bilamana kita sentiasa berasa akan kehadiran Allah s.w.t. walau dimana kita berada. Oleh itu, kita akan lebih berhati-hati dalam menjalani kehidupan seharian.
- Sebagai contoh, kita akan berasa sungguh gembira bilamana Sultan/pemerintah negara memberikan perhatian kepada kita. (^_^). Inikan pula perhatian daripada Allah s.w.t. pencipta langit dan bumi.



3)KEMANISAN ILMU/TAZKIRAH
- Didalam bulan Ramdhan yang penuh berkah ini iaitu jangka masa sebulan, akan ada 30 orang Tok Guru Ataupun Lecturer yang akan mengajar kita ilmu. (^_^)
- Susah untuk mendapati dalam mana-mana tempat pengajian yang mana dalam masa 1 bulan, kita berguru dengan 30 orang. Subhanallah.... indahnya...
- Ianya adalah suatu kemanisan yang sukat didapati... beruntunglah siapa yang merebutnya..





4)KEMANISAN MASJID
- Cuba kita lihat, bila tiba sahaja bulan ramadhan (lebih-lebih lagi awai ramadhan), Masjid dan surau akan kembali penuh dengan manusia yang ingin meraih "rahmat" Allah s.w.t. Dan ini menjadikan masjid dan surau kembali meriah.
- Antara banyak-banyak rumah, Rumah Allah s.w.t. adalah yang paling mulia. Dan Rumah Allah s.w.t. jugalah, yang satu2nya...rumah semua orang boleh kunjungi atau datang. Orang kaya boleh datang, menteri, wakil rakyat, CEO , tentera dan juga orang miskin. xde sape yang tidak boleh hadir ke rumah Allah s.w.t.
- Tapi, kalau rumah orang2 besar, tak semua boleh masuk (betui tak?.) dan juga...rumah orang2 miskin, x semua orang dalam dunia ni nak masuk (betui tak?.)




5)KEMANISAN LAILATULQADAR
- malam yang ditunggu-tunggu oleh semua umat islam
- sama-samalah kita mencarinya... dan semoga kita dapat menemuinya....insyaALLAH...


~Selamat Beramal untuk semua~

Selasa, 16 September 2008

Sedikit renungan....

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah.... alhamdulillah...alhamdulillah...

Pertama dan selamanya... marilah kita sama-sama mengucapkan syukur keadrat ilahi, kerana diberi nikmat Iman dan Islam. Juga masih diberi kesempatan untuk melalui Bulan Ramadhan yang penuh berkah ini hingga keakhirnya...insyaALLAH.

Pada kali ini, ana just nak sampaikan apa yang baru sahaja ana dapat ketika tazkirah disurau berdekatan.


Disampaikan oleh Ustaz Abdullah Isa Abdul Hamid


Amalan-amalan yang boleh Kifarah Dosa

1)Berulang-alik untuk solat berjemaah disurau ataupun masjid

2)Lepas solat, duduk sebentar untuk berzikir

3)Sentiasa perbaharu wuduk. Pastikan wuduk tidak putus.


Amalan-amalan yang boleh menyebabkan darjat diangkat oleh Allah s.w.t.

1)Menjamu orang makan(berbuka puasa), bersedekah untuk akhirat

2)Ucapan(bahasa yang lembut), jaga tingkah laku , jangan sombong

3)Bangun untuk solat malam ketika orang lain sedang lena.


wallahu'alam....

Jumaat, 16 Mei 2008

15 Mei 1948

Tanggal hitam 15 Mei 1948

Pada tarikh ini, genaplah usia 60 tahun Palestin ditakluk, betapa malunya kita sebagai umat Islam hari dengan kelengkapan serba serbi peralatan persenjataan masih tidak terdaya membebaskan bumi Palestin, malah Masjid al-Aqsa juga dikuasai rejim Yahudi.

Kalau dilihat dari sudut logik akal manusia, negara Israel dilingkungi beberapa negara Arab yang kaya dengan senjata minyak seperti Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Syria, Lubnan, Bahrain, Oman, Yaman dan sebagainya sepatutnya pada 1948, orang-orang Arab berjaya menghalang penubuhan negara haram itu, namun ia tidak berlaku. (1)


Siapakah sebenarnya Salahuddin?

Beliau adalah Salahuddin Yusuf bin Najmuddin Ayyub, lahir pada 532 Hijrah/1138 Masihi di Tikrit, Iraq daripada rumpun bangsa Kurdis, meninggal pada tahun 589 Hijrah/1193 Masihi di Damsyik.

Pengasas Daulah Ayyubiah dan bergelar Sultan Salahuddin, seorang pahlwan Islam yang paling gagah berani dalam Perang Salib dan berhasil merebut kembali Baitulmaqdis daripada tangan tentera Salib Kristian.

Persoalannya, mengapakah suatu ketika dahulu 'Salahuddin Al-Ayubi' bersama tentera Islam bermati-matian mempertahankan Baitulmaqdis ketika diserang oleh tentera Salibiah Eropah sedangkan beliau sendiri bukan rakyat Arab Palestin, beliau adalah daripada keturunan Kurdis, satu bangsa yang mendiami utara Iraq yang bersempadan dengan Turki.

Beliau berjaya menumpaskan serangan tersebut, malah berjaya menghalau saki baki tentera Kristian itu daripada bumi Palestin.

Apakah yang mendorong beliau bertindak demikian, dan tidak menyerahkan urusan mempertahan kota Baitulmaqdis itu kepada rakyat Palestin untuk mempertahankan tanah air mereka sendiri?

Sebaliknya Salahuddin ketika pada penghujung hayatnya telah berpesan supaya segala pakaian penuh berdebu yang digunakan semasa berperang, agar dimasukkan di dalam liang kubur dan ditanam bersama jenazahnya dengan tujuan supaya menjadi saksi bahawa beliau telah menghabis segala tenaga dan fikiran untuk mengetuai tentera Islam bagi mempertahankan Baitulmaqdis daripada serangan tentera Kristian Eropah.

Sesungguhnya yang mendorong Salahuddin bertindak demikian adalah kerana kesedaran yang tinggi untuk mempertahan kota suci iaitu kota yang telah menemukan Nabi Muhammad s.a.w. dengan para anbiya' yang lain, khususnya dalam peristiwa Israk Mikraj.

Sebagai seorang Islam beliau berkeyakinan bahawa apabila bumi suci Baitulmaqdis itu diganggu oleh golongan kuffar, adalah menjadi kewajipan kepadanya dan juga umat Islam seluruhnya bangun untuk mempertahankan atau membebaskan bumi tersebut dari cengkaman musuh Allah SWT itu, tidak kira sama ada mereka orang Palestin ataupun bukan.

Empat puluh tahun selepas peristiwa itu, Lord Olenby yang mengetuai pasukan Salibiah berjaya memasuki semula kota Baitulmaqdis, dia pergi ke kubur Salahuddin dan menginjakkan kakinya ke atas kubur Salahuddin sambil berkata: "Sekarang aku datang semula ke sini."

Alangkah baculnya ketua tentera Salibiah itu, dia hanya berani berdepan dengan Salahuddin yang telah mati, dengan mesej bahawa pihak Salibiah sentiasa menyimpan dendam terhadap Islam.

Bagi Salahuddin, beliau telah melaksanakan tanggungjawabnya mempertahankan kota suci terletaknya Masjid al-Aqsa yang mulia, tempat Nabi Muhammad s.a.w. mendirikan solat dua rakaat dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

15 Mei 1948 adalah tanggal hitam bagi umat Islam diseluruh dunia. Pada tarikh inilah genapnya 60 tahun Palestin dijajah oleh Yahudi.

Sedih + Geram + Malu bila mana membaca kisah bagaimana sejarah Palestin dijajah oleh bangsa yahudi Laknatullah....

Bukan mudah untuk menjadi sekuat dan seteguh Salehuddin Al-Ayyubi..

Jauhnya..... Tipisnya.... Lemahnya.....

Jumaat, 11 April 2008

Runtuhnya Islam kerana amalan dan akhlak penganutnya

Tazkirah Jumaat | Kalau dibanding antara Islam yang ada di bumi umat Islam dan Islam yang berada di bumi orang bukan Islam majoritinya seperti di sebahagian negara Eropah, kita akan dapat lihat seolah-olah Islam memang wujud dalam segenap aspek kehidupan seperti kebersihan persekitaran, tandas awam, peraturan jalan raya yang dipatuhi undang-undang dan sebagainya, di mana yang mengamalkannya adalah mereka yang bukan beragama Islam.


Tetapi apabila kita menjenguk beberapa negara umat Islam khususnya di timur tengah, kita akan dapati seolah-olah kehidupan secara Islam telah lama mati angkara pemerintah yang kurang prihatin terhadap persoalan tersebut, atau dengan perkataan lain mereka tidak bersungguh-sungguh untuk melihat Islam itu memerintah negara.


Segala ideologi dan pemikiran Barat dijadikan rujukan utama negara, dan memperjuangkannya sampai ke peringkat akar umbi. Hal ini begitu ketara sehingga aspek pendidikan, politik, sosial, ekonomi dan sebagainya tidak dipadankan dengan tuntutan agama Islam.


Umat Islam hari ini amat berbangga dengan menonjolkan identiti diri dengan kehidupan ala barat dalam segenap aktiviti hidup mereka.


Pengasingan cara hidup orang Islam daripada Islam adalah salah satu faktor lahirnya insan-insan yang sumbang gerak-lakunya , ini adalah kerana pengajaran Islam bukanlah menjadi faktor utama hidup mereka.


Setiap anak sejak dilahirkan, ibu bapanya mempertaruhkan nasibnya kepada Allah selaku Pencipta supaya anaknya selamat, ini dapat dilihat dari pelaksanaan syariat azan dan iqomat pada kedua-dua telinga anak, bertujuan supaya si anak itu mempunyai hubungan dengan Tuhannya.


Tidak cukup dengan itu, Islam mengajar kita supaya memahami konsep ibadat solat serta falsafah pelaksanaanya, bermula dengan surah al-Fatehah yang menjadi rukun dalam solat, ia mempunyai mesej tersendiri untuk melahirkan insan muslim yang hanya takut kepada Allah SWT.


Tetapi apabila dirujuk kepada kehidupan orang Islam hari ini, menggambarkan bahawa mereka bagaikan tiada hubungan dengan Islam pada sebahagian tuntutannya.


Apa yang pernah ditegah oleh nabi s.a.w 1429 tahun yang lalu muncul kembali, lelaki muslim berpakaian seperti wanita, sebaliknya wanita muslimah bagaikan lelaki dan banyak lagi, menggambarkan realiti umat Islam yang tidak boleh menjadi contoh kepada yang lain.


Fenomena ini berlanjutan dan memberi kesan negatif kepada semua pihak, samada peringkat golongan pemerintah, karyawan, pekerja, ibu-bapa, golongan pelajar dan sebagainya.


Jelas sekali kehidupan secara tidak Islam telah menguasai cara bertutur, berfikir, berkomunikasi, berpolitik, berkeluarga, berumah-tangga, berekonomi dan banyak lagi termasuklah bidang hiburan yang mendapat tempat dalam masyarakat.


Aspek hiburan yang sudah banyak lari konsepnya dari apa yang diketengahkan oleh Islam, ianya tidak ditegur oleh pihak berkuasa khususnya pada "dress code" para artis. Gambar-gambar mereka yang mendedahkan aurat memenuhi ruang akhbar, gambar kulit majalah, tv dan sebagainya tanpa segan silu, mereka dianggap idola oleh sesetengah pihak.


Kadang-kadang gelagat mereka memperlihatkan kecetekan ilmu agama yang tidak sepatutnya ditonjolkan buat tatapan umum. Ini dapat dilihat dalam persembahan para artis menerusi konsert yang sekali dipandang menyerupai artis-artis barat iaitu dari segi pakaian, watak dan sebagainya yang tidak melambangkan insan yang bertamadun.


Sekiranya hal ini berpanjangan, dikhuatiri masyarakat bukan Islam menilai bahawa Islam juga membenarkan umatnya berhibur secara keterlaluan, dan secara tidak langsung menyumbang kepada tidak minat mereka kepada Islam, kerana tidak ada perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam.


Justeru pihak berkuasa mestilah memainkan peranan penting bagi memastikan agar anak-anak muda yang menceburi bidang hiburan ini diasah dengan kefahaman Islam yang betul, supaya matlamat hidup mereka menepati tujuan asal penciptaan mereka.


Apabila Islam dijadikan sandaran hidup setiap muslim dengan segala kesungguhan, pasti bumi yang dipijak ini akan menaungi manusia dengan hukuman yang seadil-adilnya.


Sumber

Isnin, 7 April 2008

Cinta Remaja (Bahagian 8)

Menjaga Pandangan Mata

Surat an Nur ayat 30: "Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." Surat an Nur ayat 31 pula: "Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung."

Ternyata, untuk menjaga kesucian diri, bagi seluruh kaum muslimin dan muslimat, terutama yang belum berkahwin, salah satu sarana yang wajib diamalkan ialah menjaga pandangan mata, jangan sampai bertentang mata antara lain jantina atau memandang lain jantina dengan nafsu al hawa atau juga memandang perilaku maksiat. Mata sesungguhnya sangat besar peranannya dalam menghindar maksiat dan menjaga kesucian diri, kerana mata adalah deria yang menerima input. Sedang input adalah modal yang akan diproses oleh hati dan menghasilkan output ie tindak laku manusia. Inputlah yang menjadi pencadang output. Baik input, maka insyaAllah baiklah output, sedang buruknya input menghasilkan output yang buruk. Maka sebab itulah amat penting untuk menjaga pandangan mata dan mengawalnya agar tidak terterima atau sengaja menerima input yang negatif yang bakal menghasilkan output perilaku yang negatif dan berdosa pula.

Amar Makruf dan Nahi Mungkar (bahagian 6)

Kesan-Kesan mengabaikan amar ma’ruf dan nahi mungkar

1) Hati menjadi tidak tenang (yang melihat kemungkaran)

- Mereka yang membisu itu sentiasa resah gelisah. Mereka tidak mendapat ketenangan jiwa dan ketenteraman iman. Ketenangan iman hanya dinikmati oleh mereka yang berani menyatakan kebenaran dan menyebarkan cerita gembira tentang syurga, keunggulan dan keadilan ajaran Islam. Mereka juga mengingatkan manusia tentang azab neraka jahanam dan “qanun persamaan” balasan Allah S.W.T..

2) Keruntuhan Akhlak

- Sekiranya amar makruf dan nahi mungkar tidak dilaksanakan, akhlak masyarakat sekarang akan menjadi semakin parah. Dengan anak-anak mudanya yang suka membazir masa, agama semakin jauh ditinggalkan, hiburan akan menjadi semakin melampau-lampau. Kita boleh ambil contoh pada sambutan-sambutan besar didalam Negara yang tiap-tiap tahun akan dijalankan. Iaintu, sambutan tahun baru masihi dan juga sambutan kemerdekaan. Jika tidak ada orang yang menasihati ataupun memberi penerangan tentang “cara menyambut” perayaan-perayaan ini dalam konteks yang betul, maka akan bertambah teruklah akhlak mereka.

3) Jenayah berleluasa

- Bila akhlak semakin teruk, semestinya suasana didalam masyarakat itu akan menjadi tidak keruan. Statistik jenayah akan meningkat. Kita boleh ambil satu contoh dalam masyarakat kita sekarang ini. Saya bukanlah nak menyalahkan sesiapa, Cuma kita ambil itktibar dari berita ini. “Menurut taklimat polis kepada Perdana Menteri, jenayah ganas meningkat 13.4 peratus. Kes rogol naik 30 peratus manakala rompakan berkumpulan melonjak 160 peratus. Mencabul kehormatan naik 12.4 peratus, pecah rumah waktu malam bertambah 21.7 peratus, pecah rumah siang hari naik 4.2 peratus, curi motosikal meningkat 3.2 peratus, curi kereta naik 11.4 peratus dan kecurian lain naik 5.1 peratus.”2 .

2.http://www.harakahdaily.net/bm/index.php/rencana-&-pendapat/pm-terkejut-jenayah-tinggi.html

4) Negara akan mundur

- Setelah diteliti kesan-kesan diatas, akan timbul pulalah kesan ini. Iaitu Negara akan menjadi mundur. Ini adalah kerana, tiadanya pelapis yang boleh membawa arus kemodenan kepada Negara kita. Sebaliknya, ramai pemuda-pemudi sekarang yang hanyut dengan arus Hiburan yang melampau-lampau (Hedonisme) sampai tidak memikirkan masa depan mereka. Saya sebutkan beberapa rancangan yang bagi saya “melampau” dari sudut untuk berhibur. Antaranya Akademi Fantasia, Malaysian Idol, one in a million dan juga Bintang kecil (kalau dulu, ibubapa lebih suka anak-anak mereka Berjaya didalam bidang akademik. Tapi Sekarang, situasinya sudah tebalik.).

- Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka[468]. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya? (surah Al-An’am : 32 )



[468]. Maksudnya: kesenangan-kesenangan duniawi itu hanya sebentar dan tidak kekal. Janganlah orang terperdaya dengan kesenangan-kesenangan dunia, serta lalai dari memperhatikan urusan akhirat.

Isnin, 31 Mac 2008

CInta Remaja (Bahagian 7 )

Jadi, apa jalan yang halal?


Pertanyaan ini pasti berlegar di pemikiran para remaja yang berada di zaman emas cinta ini iaitu menginginkan untuk mencintai dan dicintai, kerana itu memang fitrah ciptaan Ilahi. Sesungguhnya cinta itu suci. Surat an Nur ayat 32 menjawab pertanyaan di atas: " Dan kahwinkanlah orang-orang yang sedirian antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." Memang ternyata perkahwinan adalah penyelesai masalah, kerana sesudahnya semua yang haram sebelumnya menjadi halal. Wah, indahnya!


Tetapi realitinya, banyak remaja belum siap untuk kahwin. Bahkan, dalam pemikiran yang salah, mereka seperti memandang kahwin itu penghalang keseronokan, pengakhir zaman keemasan dan pelbagai fahaman yang silap, kerana mereka tidak mengetahui bahawa kahwin itulah pembangkit keseronokan hidup, kebahagiaan, ketenangan dan bermulanya zaman emas dalam hidup dan cinta. Lantas, bagaimana bagi mereka yang belum sedia untuk kahwin atau belum mampu, padahal keinginannya sentiasa mahu.


Islam sebagai sistem yang lengkap dan penyelesai masalah, bukan penyebab masalah, tetap saja mempunyai penyelesaian untuk masalah itu. Surat an Nur, ayat 33 menjawab; "Dan orang-orang yang tidak mampu kahwin hendaklah menjaga kesucian (diri)nya, sehingga Allah memampukan mereka dengan karunia-Nya. Dan hamba sahaya yang kamu miliki yang memginginkan perjanjian, hendaklah kamu buat perjanjian dengan mereka, jika kamu mengetahui ada kebaikan pada mereka, dan berikanlah kepada mereka sebahagian dari harta Allah yang dikaruniakan-Nya kepadamu. Dan janganlah kamu paksa hamba-hamba wanitamu untuk melakukan pelacuran, sedang mereka sendiri mengingini kesucian, karena kamu hendak mencari keuntungan duniawi. Dan barangsiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (kepada mereka) sesudah mereka dipaksa itu."


"Dan orang-orang yang tidak mampu kahwin hendaklah menjaga kesucian (diri)nya, sehingga Allah memampukan mereka dengan karunia-Nya. …". Banyak sarana yang boleh dipraktis dalam usaha menjaga kesucian diri. Antaranya ialah amalan mulia menjaga pandangan mata bagi lelaki dan wanita serta amalan berpuasa.

Amar Makruf Dan Nahi Mungkar (Bahagian 5)

Syarat-syarat yang perlu dimiliki oleh orang-orang yang bertugas sebagai pencegah kemungkaran


Telah kita sebutkan sebelum ini bahawa tugas amar ma’ruf dan nahi mungkar ini dijalankan sendiri oleh Khalifah, tetapi oleh kerana tugas Negara makin bertambah banyak, maka tugas ini diletakkan dibawah suatu pentadbiran yang dinamakan ‘HISBAH’.


Justeru itu Ulama’ Muslimin mengemukakan beberapa syarat untuk dipenuhi oleh mereka yang akan menjalankan tugas ini antara lain ialah seperti berikut:


  1. Ia mestilah seorang yang beriman
  2. Ia mestilah seorang yang mukallaf
  3. Ia mestilah seorang yang mampu menjalankan tugas tersebut.
  4. Ia mestilah seorang yang arif hukum syara’ yang berkaitan dengan perkara yang dicegah itu.

Adapun ke’adilan adalah satu syarat yang tidak sekata ‘alim Ulama’ Muslimin pada menentukan yang ianya disyaratkan atau tidak. Selain daripada syarat-syarat yang kita sebutkan itu, setiap orang yang menjalankan tugas ini patutlah memiliki sifat-sifat berikut :


  1. Ia patutlah ber’amal dengan ‘ilmunya, percakapan dan perbuatannya biarlah selari. Ia haruslah tidak melakukan perkara yang dia melarang orang lain mengerjakannya.
  2. Ia patutlah berbudi pekerti mulia, bermanis muka dan lemah lembut tuturkatanya.
  3. Ia haruslah berlemah lembut dalam mencegah sesuatu perkara.
  4. Nasihat dan tunjuk ajarnya mestilah bertujuan untuk mendapat keredhaan Allah SWT, jangan dipedulikan kepada celaan dan maki hamun manusia.
  5. Ia haruslah bersabar dalam menghadapi sebarang cabaran. Itu adalah suatu hal yang lebih menjamin kejayaannya.
  6. Ia sepatutnya mengikut sunnah Rasulullah SAW bukan setakat mengerjakan akan yang wajib sahaja malah sentiasa melakukan yang sunat sehingga ia dipandang hebat dan digeruni.

Sayugia diingatkan syarat-syarat dan sifat-sifat yang tersebut bukan hanya tertumpu pada pegawai-pegawai Hisbah yang dilantik oleh kerajaan sahaja, malahan sukarelawan juga haruslah mempunyai syarat-syarat dan sifat-sifat yang sedemikian.

Selasa, 25 Mac 2008

CInta Remaja (Bahagian 6)




6. Perkara yang mendekatkan kepada zina


Sudah jelas dalam syariat Islam bahawa zina itu haram. Telah jelas juga termaktub dalam Perlembagaan Tertinggi bagi orang Islam iaitu al Quran bahawa perkara yang mendekatkan kepada zina juga adalah haram. Surah al Israk ayat 32 menjelaskan "Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk." Pernyataan 'jangan' dengan jelas menunjukkan bahawa perbuatan mendekatkan kepada zina adalah haram. Cuma, masyarakat Islam yang belum jelas hakikat ini. Kalau pun sudah jelas, sengaja berpura-pura tidak tahu seolah-olah ayat ini tidak pernah ada dalam al Quran yang mereka baca secara lisan. Padahal kepura-puraan mereka itu hanyalah menipu diri sendiri kerana hendak menurut, memuja, mengagung dan memuaskan nafsu yang memang suka kepada perbuatan terlarang mendekatkan diri kepada zina.


Lagi dalam hal cinta remaja, perkara yang mendekatkan kepada zina memang jelas wujud. Berkedudukan lelaki dan perempuan dalam jarak dekat, baik secara terlindung (khalwat) atau pun secara jelas di khalayak (ie dating di tempat awam atau rumah makan), persentuhan lelaki perempuan, bahkan yang lebih dari itu, pertentangan pandangan mata, pandangan mata kepada berlainan jenis secara bernafsu, perbualan lelaki perempuan yang intim, mesra, manja, lunak, menggoda dan bernafsu, pembukaan dan pendedahan aurat terutama di pihak wanita, semuanya adalah perkara-perkara yang membuka pintu, mendorong, menggalakkan, memudahkan, meransang, membawa dan mendekatkan kepada zina. Hal-hal ini wujud dalam cinta remaja, maka cinta remaja itu sendiri adalah pembuka pintu, pendorong, penggalak, pemudah, peransang, pembawa dan pendekat kepada zina.


Maka sekali lagi jelas, bahawa perkara yang mendekatkan kepada zina itu haram dan kerana cinta remaja itu mendekatkan kepada zina, maka cinta remaja adalah haram.