Halaman

Isnin, 31 Mac 2008

Amar Makruf Dan Nahi Mungkar (Bahagian 5)

Syarat-syarat yang perlu dimiliki oleh orang-orang yang bertugas sebagai pencegah kemungkaran


Telah kita sebutkan sebelum ini bahawa tugas amar ma’ruf dan nahi mungkar ini dijalankan sendiri oleh Khalifah, tetapi oleh kerana tugas Negara makin bertambah banyak, maka tugas ini diletakkan dibawah suatu pentadbiran yang dinamakan ‘HISBAH’.


Justeru itu Ulama’ Muslimin mengemukakan beberapa syarat untuk dipenuhi oleh mereka yang akan menjalankan tugas ini antara lain ialah seperti berikut:


  1. Ia mestilah seorang yang beriman
  2. Ia mestilah seorang yang mukallaf
  3. Ia mestilah seorang yang mampu menjalankan tugas tersebut.
  4. Ia mestilah seorang yang arif hukum syara’ yang berkaitan dengan perkara yang dicegah itu.

Adapun ke’adilan adalah satu syarat yang tidak sekata ‘alim Ulama’ Muslimin pada menentukan yang ianya disyaratkan atau tidak. Selain daripada syarat-syarat yang kita sebutkan itu, setiap orang yang menjalankan tugas ini patutlah memiliki sifat-sifat berikut :


  1. Ia patutlah ber’amal dengan ‘ilmunya, percakapan dan perbuatannya biarlah selari. Ia haruslah tidak melakukan perkara yang dia melarang orang lain mengerjakannya.
  2. Ia patutlah berbudi pekerti mulia, bermanis muka dan lemah lembut tuturkatanya.
  3. Ia haruslah berlemah lembut dalam mencegah sesuatu perkara.
  4. Nasihat dan tunjuk ajarnya mestilah bertujuan untuk mendapat keredhaan Allah SWT, jangan dipedulikan kepada celaan dan maki hamun manusia.
  5. Ia haruslah bersabar dalam menghadapi sebarang cabaran. Itu adalah suatu hal yang lebih menjamin kejayaannya.
  6. Ia sepatutnya mengikut sunnah Rasulullah SAW bukan setakat mengerjakan akan yang wajib sahaja malah sentiasa melakukan yang sunat sehingga ia dipandang hebat dan digeruni.

Sayugia diingatkan syarat-syarat dan sifat-sifat yang tersebut bukan hanya tertumpu pada pegawai-pegawai Hisbah yang dilantik oleh kerajaan sahaja, malahan sukarelawan juga haruslah mempunyai syarat-syarat dan sifat-sifat yang sedemikian.

Tiada ulasan: