Halaman

Selasa, 18 Mac 2008

Cinta Remaja (Bahagian 3)


3. Bertentang Mata adalah Panahan Beracun Iblis

"Pandangan itu adalah panahan beracun Iblis. Siapa yang meninggalkannya kerana takutkan Aku nescaya akan Aku gantikan ia dengan iman dan dia akan memperoleh kemanisan dalam hatinya." (hadis riwayat at Tabrani dan al Hakim)

Tentu sekali tidak ada antara kita yang mahu terkena panahan, apalagi panahan beracun. Inikan pula panahan beracun yang bukan sebarangan, tapi panahan beracun dari musuh kita, Iblis dan syaitan yang dilaknat Allah. Terkena panahan saja, kita tidak mahu kerana ia menyakitkan. Semua orang dapat mengagak kesakitan dari terkena panahan. Bertentang mata antara lelaki dan wanita sebenarnya menyakitkan kerana ia adalah dosa dan dosa pasti menyakitkan di neraka nanti, walaupun bukan sekarang menyakitkan tetapi akan menyakitkan di hari kemudian; akhirat. Hanya pada fizikalnya pertentangan mata lelaki wanita itu tidak menyakitkan, malah menikmatkan kerana ia berempahkan nafsu, padahal hakikatnya amat menyakitkan.

Panahan kosong saja sudah sangat menyakitkan, apa lagi panahan beracun. Semua orang tahu racun kesannya bukan sedikit, malah boleh bertindak cepat dan menyebar ke seluruh badan, hingga ia mengalir dalam darah dan meracuni seluruh urat, saraf, otot dan anggota . Bertentang mata lelaki wanita itu panahan beracun. Maka amat senang sekali difahami oleh kita bahawa ia akan segera menusuk masuk dalam darah, dan berlari, menyebar ke seluruh badan dengan pantas serta menyerang bahagian-bahagian badan lain. Sebab itu, sekali saja bertentang mata lelaki perempuan, hati dengan pantas terus bergetar, bergegar dengan niat dan bayangan yang jahat, dan seluruh anggota pun bangkit bersemangat untuk bertindak, padahal tindakan itu adalah maksiat. Demikianlah kuasa tindakbalas sepantas kilat yang boleh dihasilkan dari bertentangnya mata dua jantina.

Apatah lagi panahan beracun ini bukan milik pemanah sebarangan, tapi si pemanah musuh kita yang jelas lagi nyata. Dan dia musuh yang berkuasa. Mesti dan sedapat-dapatnya kita mengelak panahan beracun ini.

Menyentuh cinta remaja, seolah-olah terbayang remaja lelaki dan perempuan bergelimpangan, mati merana dan merata di jalanan kerana terkena panahan beracun Iblis dan syaitan. Bagaimana mereka bisa mengelak dari terkena panahan itu kalau mereka sendiri yang pergi mencari-cari dan menghadapkan diri dan mata mereka pada panahan itu. Amat sukar dan ironis untuk difahami, mereka itu pergi menghadapkan diri di depan panahan beracun syaitan secara berdepan-depan, seolah–olah menyerah diri dan lagi mereka mengambil jarak yang amat dekat, sehingga kuasa panahan yang mengena itu amat kuat.

Memang telah terang lagi nyata, panahan beracun Iblis itu bahaya dan setiap yang bahaya tidak boleh diambil, dilarang mengambilnya apatah lagi bermain-main dan berseronok dengannya. Pertentangan mata lelaki wanita itu bahaya, maka dilarang bahkan haram melayani, bermain-main dan berseronok dengannya. Pendeknya, cinta remaja yang sudah semestinya terbina dari pertentangan mata lelaki dan wanita itu adalah bahaya, maksiat, dosa dan haram.

Tiada ulasan: