Halaman

Sabtu, 15 Mac 2008

Cinta Remaja (Bahagian 2)

2. Khalwat Fizikal dan Khalwat Hati adalah haram

Rasulullah s.a.w bersabda "Setiap kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita, syaitan akan menjadi orang ketiga."

Sudah termaklum dalam masyarakat Muslim bahawa khalwat adalah haram. Umumnya, orang memahami bahawa khalwat terjadi hanya setelah seorang lelaki dan seorang wanita bersama-sama bersendirian, terutama di tempat tiada orang lain. Khalwat itu bahaya dan haram. Persoalannya, apakah tidak berkhalwat, tidak bahaya dan tidak haram jika ada tiga orang atau lebih terdiri daripada lelaki dan wanita, di suatu tempat yang di sana mereka tidak ada perasaan malu lagi untuk berbuat maksiat, seperti di pusat-pusat hiburan dan arak? Persoalan lain, apakah tidak berkhalwat, tidak bahaya dan tidak haram dua orang dari lelaki dan wanita bersama-sama di khalayak ramai, sedang hati kedua-duanya tertaut rapat oleh hawa nafsu dan perlakuan kedua-duanya adalah perlakuan seperti orang berkhalwat, yang tidak rasa malu kepada sesiapa di sekeliling, bahkan tidak rasa malu kepada Yang Maha Melihat? Persoalan lain lagi ialah apakah tidak termasuk khalwat dua orang lelaki dan wanita yang terjalin dengan hubungan hati berlandas maksiat dalam perbualan secara langsung mahupun melalui telefon dan alat komunikasi lain?

Ternyata persoalan-persoalan tersenarai di atas adalah maksiat semata dan berada dalam kategori khalwat juga, kerana khalwat itu bukan pada fizikal sahaja, tetapi juga pada hati, malah khalwat hati itu lebih terdahulu bermula kerana setiap perbuatan dan perkataan adalah hasil dari ilham hati. Khalwat jasadi (badan) hadir setelah khalwat qalbi (hati).

Dalam soal cinta remaja, khalwat secara fizikal di tempat tiada orang lain berkemungkinan terjadi, bahkan memang sejarah membuktikan ia pasti terjadi, yang menentukan hanya asri (masa), lambat atau cepat. Lebih mudah terjadi dari khalwat jasadi ialah khalwat hati yang berlangsung secara terbuka atau tertutup. Dalam situasi terbuka umpama pertemuan lelaki dan wanita di khalayak umum, jasad keduanya tidak berkhalwat, tetapi hati keduanya boleh saja berkhalwat melalui tautan nafsu yang melahirkan kata-kata lunak manja wanita dan pandangan serta jelingan mata panahan syaitan. Disebabkan khalwat hati, remaja bercinta hilang perasaan malu kepada orang lain dan kepada Pencipta mereka, sekalipun di tempat umum dan di khalayak ramai, mereka melakukan apa saja maksiat yang memenuhi tuntutan hawa nafsu. Tambahan lagi masyarakat individualistic hari ini sudah tidak peduli maksiat berlangsung hebat depan mata mereka asal kamu nikmat dan aku tidak terganggu bahkan dapat mengongsi sama nikmat maksiatmu. Astaghfirullah. Na'uzubillah. Khalwat hati boleh saja terjadi sepanjang perhubungan langsung muka ke muka mahupun melalui media; telefon, pesanan sms, surat, emel dan sebagainya. Jelas bahawa cinta remaja adalah terlarang kerana khalwat fizikal dan hati yang mengisi cinta remaja itu adalah haram.


Tiada ulasan: