Halaman

Ahad, 23 Mac 2008

Jerawat




assalamualaikum..

JERAWAT

1. Apa itu JERAWAT?

JERAWAT merupakan masalah kulit yang paling kerap berlaku. Ia lebih cenderung dialami oleh golongan remaja dan juga orang dewasa. Masalah ini boleh dicirikan sebagai bintik-bintik putih (whiteheads) atau hitam (blackheads), berair atau kemerahan yang kadangkala sangat menyakitkan. JERAWAT biasanya berlaku pada bahagian muka tetapi terdapat juga pada bahagian leher, belakang, dada dan bahu. Dianggarkan sebanyak 80% orang yang berumur dalam lingkungan 12 hingga 25 tahun mengalami masalah JERAWAT. Sementara itu, masalah ini akan hilang selepas beberapa tahun akan tetapi ada juga yang mengalami parut yang kekal. Kesan peparut ini akan memberikan kesan buruk kepada pengidap yang terlalu menitikberatkan penampilan diri mereka.

2. Apakah jenis JERAWAT yang anda alami?

JERAWAT merangkumi ‘whiteheads’, ‘blackheads’. Selain itu, terdapat juga tanda-tanda kemerahan (‘lesion’) dengan pembengkakan yang dalam yang dipanggil nodul. JERAWAT terdiri daripada yang ringan, sederhana dan teruk. JERAWAT yang ringan hanya terdapat sedikit ‘whiteheads’ dan ‘blackheads’ . Bagi JERAWAT yang sederhana pula, anda akan mengalami lebih banyak JERAWAT pada muka dan kemungkinan terdapat pada bahagian dada dan belakang. Tetapi dalam keadaan JERAWAT yang teruk, anda akan mengalami banyak nodul, yang besar dan sakit, pada bahagian muka, dada, belakang dan pada bahagian badan yang lain.

3. Apakah yang anda tidak tahu tentang JERAWAT?

Mitos 1: JERAWAT disebabkan oleh kurang penjagaan kebersihan.

Jika anda percaya pada kenyataan ini, tentu anda akan membersihkan kulit anda sekerap dan sekuat yang mungkin tanpa menyedari yang anda akan menyebabkan JERAWAT bertambah teruk. Sebenarnya, JERAWAT bukan disebabkan oleh kotoran atau minyak pada permukaan kulit. Oleh itu, anda tidak seharusnya menggosok terlalu kuat untuk menyahkan lebihan minyak, sel-sel mati dan kotoran pada kulit kerana perbuatan ini akan menyebabkan peradangan pada kulit dan JERAWAT akan bertambah teruk. Cara yang terbaik untuk mengatasi masalah ini ialah mencuci muka dengan lembut dua kali sehari. Juga cuba gunakan ubat rawatan JERAWAT yang sesuai.

Mitos 2: JERAWAT disebabkan oleh makanan.

Menurut kajian saintifik, kaitan diantara makanan dan JERAWAT tidak wujud. Dengan kata lain, makanan seperti coklat, pizza dan kentang goreng tidak menyebabkan masalah ini. Walaubagaimanapun, sesetengah orang menganggap makanan amat mempengaruhi kejadian JERAWAT. Dengan demikian, mereka mengelakkan diri mereka dari mengambil makanan tersebut. Tetapi bukti-bukti saintifik menyatakan bahawa jika JERAWAT dirawat dengan betul, pengambilan makanan tidak mempengaruhi JERAWAT.

Mitos 3: JERAWAT disebabkan oleh tekanan.

Tekanan yang dialami dalam kehidupan seharian bukan merupakan faktor penyumbang kepada JERAWAT. Tekanan teruk yang dirawat dengan pengambilan ubat boleh merangsang terjadinya JERAWAT. Kejadian ini kemungkinan disebabkan oleh kesan sampingan ubat tersebut. Jika anda beranggapan bahawa masalah JERAWAT disebabkan oleh ubat yang digunakan dalam merawat tekanan, anda haruslah berjumpa dengan ahli farmasi atau doktor untuk mendapatkan nasihat selanjutnya.

4.Apakah yang perlu anda lakukan?

Cuci muka anda dua kali sehari dengan menggunakan pencuci JERAWAT. Anda boleh menggunakan pencuci yang mengandungi 5% ‘benzoyl peroxide’. Bagi mereka yang alah terhadap ‘benzoyl peroxide’, pilihan lain yang sesuai ialah 2% ‘salicylic acid’. Produk ini boleh diperolehi dari kedai-kedai farmasi yang berhampiran dengan anda. Elakkan terdedah kepada matahari. Sekiranya anda terlibat dengan aktiviti luar seperti bersukan, gunakanlah produk pelindung matahari yang tidak menyebabkan alahan. Elakkan menyentuh atau memicit jerawat dengan tangan. Anda bolehlah berjumpa dengan ahli farmasi jika mengalami sebarang kemusykilan mengenai produk yang anda gunakan.


sumber : http://www.ukhwah.com/viewtopic.php?forum=16&topic=3790

Tiada ulasan: