Halaman

Selasa, 11 Mac 2008

Berita yang tak dapat masuk Harakah (2)

Berikut ialah berita yang tidak dapat dimasukkan dalam Harakahdaily kerana masalah-masalah teknikal - tak dapat buka laman untuk uploadkan berita:

Kalah teruk - Umno Kelantan akan sewa bas ke KL pula

KOTA BHARU, 10 Mac (Hrkh) - Kalau menjelang pilihan raya umum Sabtu lalu Umno Kelantan menyewa bas dari Kuala Lumpur untuk mengangkut rakyat Kelantan di ibu kota pulang mengundi, kali ini ahli-ahli Pemuda Umno negeri ini bersedia menyewa bas ke Kuala Lumpur pula untuk mendesak Perdana Menteri berundur.

Dalam pertemuan yang diatur antara beberapa anggota Pemuda Umno Kelantan dengan wakil Harakah di sini, salah seorang dari mereka memberitahu, ahli-ahli Pemuda Umno Kelantan hanya "menunggu wisel berbunyi sahaja".

"Kalau ada siapa-siapa dalam parti (Umno) buat perhimpunan mendesak Pak Lah undur, kita akan pergi. Kita konvoi ramai-ramai. Pilihan raya (Sabtu lalu) kita sewa bas Kuala Lumpur bawa balik anak Kelantan mengundi. Lepas ni kita sewa bas Kelantan pergi Kuala Lumpur pula," kata beliau dengan nada marah.

Bagi beliau, kejatuhan Umno di Kelantan bukan disebabkan oleh masalah Umno Kelantan, tetapi "pemimpin atas punya fasal".

"Tahun 1990, Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) tak setuju dengan (Tun) Dr Mahathir (Mohamad). (Umno) Kelantan kalah. Tahun 1999, Dr Mahathir buang (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), (Umno) Kelantan kalah.

"Tahun ni, kita ingat boleh menang sebab 2004 yang kita kalah (perbezaan) undi sikit. Yang kita menang, (perbezaan undi) banyak. Tiba-tiba, orang marah Pak Lah, kita (Umno Kelantan) yang kalah. Sampai bila? Ni nak masuk 22 tahun, 18 tahun campur empat tahun lagi," kata beliau.

Apabila ditanya adakah rancangan pihaknya itu mendapat restu atau sekurang-kurangnya diketahui pemimpin Pemuda Umno Kelantan, seorang lagi ahli Pemuda Umno dalam pertemuan itu dengan pantas menjawab: "Tak bicara (tak peduli) dah!"

"Kita tunggu wisel berbunyi ja!"

Mengenai langkah-langkah lain, selain menghadiri perhimpunan ahli-ahli Umno mendesak Abdullah berundur, beliau menjawab, "kita guna semua".

"Kalau saya boleh bercakap dengan awak, awak orang PAS, dengan orang lain pun kami boleh bercakap. Tak kira dah!" kata seorang lagi dari mereka.

Ditanya adakah pihaknya akan menggunakan laman-laman web atau blog-blog untuk mendesak Abdullah berundur, beliau berkata, perkara itu memang salah satu pilihan.

"Kalau awak boleh guna Internet sampai rakyat tak nak undi Barisan Nasional (BN), apa sebab kita tak boleh guna Internet untuk minta Pak Lah berhenti?" kata beliau.

Menurut beliau, di Kelantan, penggunaan Internet semakin meluas.

"Di kampung-kampung pun di Kelantan ini, ada orang buka tempat (pusat melayari) Internet. Kita boleh buat kerja," katanya lagi sebelum berakhir pertemuan dengan mereka kerana kedatangan pihak lain.

Tiada ulasan: