Halaman

Rabu, 12 Mac 2008

Cinta Remaja (bahagian 1)

Cinta adalah makhluk tidak bernyawa. Ia tidak berjisim, tidak berjirim, tidak punya rupa dan fizikal. Tetapi ia ajaib dan berkuasa. Ia menjalar dalam jiwa dan menggetarkan rasa. Siapakah sang ajaib Penciptanya?

Cinta adalah biasan dari Penciptanya yang Maha Pencinta. Ia dibiaskan kepada segala ciptaan-Nya supaya mereka dapat hidup dalam cinta, kasih dan mesra, serta aman bahagia.

Cinta adalah fitrah dan cinta adalah suci. Cuma, kerana hawa nafsu buas, cinta disalahgunai. Cinta suci telah dicemarkan oleh manusia yang tamak, tidak sabar, gelojoh, rendah akal dan terpengaruh oleh hasutan dan desakan keji syaitan.

Masa remaja adalah masa cinta berbunga. Pantas sekali remaja bercinta, mencari cinta dan mahu dicintai. Cinta remaja kini sudah menjadi fenomena. Di merata-rata didapati remaja bercinta, malah tenggelam dan hanyut dalamnya, lalu mati, terkorban, korban cinta yang ngeri dan menjijik serta bangkainya membusukkan.

Berbicara soal cinta remaja adalah berbicara soal hubungan dan pergaualan remaja lelaki dan perempuan. Yang dimaksudkan dengan cinta remaja dalam tulisan ini hanyalah cinta remaja yang bathil, yang salah, yang terlarang, dan yang haram, dan bukan cinta remaja yang suci. Yang dimaksudkan dengan cinta remaja dalam tulisan ini ialah cinta remaja sebelum mereka bernikah, iaitu mereka bercinta dengan lelaki bukan hak halal mereka ie bukan suami mereka.

1. Hubungan Lelaki dan Wanita atas Keperluan

Umum mengetahui bahawa sistem kehidupan manusia yang paling sempurna dan agung adalah Islam membataskan hubungan antara lelaki dan wanita dengan hikmah tertentu yang Allah lebih mengetahui sebagai Pencipta kedua-dua jantina itu. Dari pemisahan tempat solat dan susunan sofnya sudah ternyata hakikat pemisahan antara lelaki dan wanita. Komunikasi antara dua jantina ini bagaimanapun diizinkan dalam hal-hal keperluan seperti urusan muamalat harian, tetapi tidak dalam hal-hal kehendak yang banyak didorong oleh hawa nafsu seperti kehendak berhibur dan berseronok lelaki dengan wanita luar nikah. Kehendak seperti itu adalah berlandaskan hasutan syaitan dan desakan hawa nafsu semata yang mengindahkan dunia sementara tapi mengazabkan akhirat hidup yang selama. Cinta remaja adalah perlakuan yang terkategori dalam kehendak yang berlandas hawa nafsu. Maka ia adalah perhubungan yang tidak terizin, dengan kata laras hukum; haram.


Tiada ulasan: