Halaman

Ahad, 23 Mac 2008

Gaji minimum belia Selangor RM2,000

KUALA SELANGOR 22 Mac – Kerajaan negeri Selangor memberi jaminan setiap belia di negeri itu bakal menerima gaji minimum RM2,000 selepas dua tahun bekerja melalui modul khas yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, berdasarkan modul tersebut, belia yang masih menganggur dan tidak memiliki tahap akademik yang baik akan dilatih dalam pelbagai bidang sehingga mampu menjadi pekerja mahir kelas pertengahan.

Menurutnya, mana-mana belia yang berjaya menamatkan latihan tetapi masih mendapat gaji kurang daripada RM2,000 selepas tempoh dua tahun akan dipanggil balik untuk diberikan kursus lanjutan.

“Sasaran saya adalah untuk menyediakan asas latihan kepada belia di Selangor supaya selepas dua tahun mereka boleh mendapat pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.

“Mereka yang tidak menerima jumlah gaji sebegini akan dipanggil balik dan dilatih lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Jamuan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di sini hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, beliau memberitahu, beberapa badan antarabangsa telah melahirkan persetujuan untuk bekerjasama dalam menjayakan program latihan berkenaan.

Abdul Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok menjelaskan, langkah yang akan dibuat itu adalah bagi memastikan sumber manusia di Selangor dapat dimanfaat dengan sebaik-baiknya.

“Saya mengambil kira bahawa satu langkah yang baik sekali adalah menentukan guna tenaga di negeri ini dapat digunakan sebaik-baiknya.

“Jika ramai belia yang tidak bekerja, bermakna guna tenaga yang sedia ada kurang dimanfaat,” ujarnya.

Beliau menambah, tindakan kerajaan negeri itu juga dapat merapatkan jurang taraf hidup yang amat ketara di antara golongan kaya dan miskin di Selangor.

---------------------------------------------------------------------------------------------------
wah.... nampaknya, lepas ni...kena la cari kerja di sekitar selangor...

Tiada ulasan: