Halaman

Jumaat, 28 Mac 2008

Australia menghadapi 'ancaman Asia'

Australia perlu melengkapkan pertahanan negara maritim itu dengan 400 pesawat pejuang terbaru dan 30 kapal selam untuk bersedia menewaskan kuasa-kuasa Asia yang mendatangkan ancaman.

Cadangan ini dibuat oleh Ross Babbage, penasihat menteri pertahanan Australia, Joel Fitzgibbon dalam satu kertas kerjanya.

Menurut Babbage, ancaman yang mungkin dihadapi Australia pada masa depan ialah kuasa-kuasa Asia seperti China, India dan Indonesia.

Ancaman yang menjadi asas cadangan ini telah kelihatan dalam tindakan-tindakan Australia menjelang penghujung pentadbiran Perdana Menteri John Howard. Awal 2007, Canberra dan Tokyo menandatangani perjanjian keselamatan, mengukuhkan hubungan pertahanan dua sekutu penting AS di Asia itu.

Perjanjian itu jelas sekali mengambil kira kebangkitan China yang dijangka akan menjadi ancaman pada masa depan. Beberapa bulan selepas itu, satu lagi perjanjian dipersetujui antara Australia dengan AS, menjelaskan kepentingan Australia sebagai rakan strategik Washington di Asia Pasifik.

Perjanjian perdagangan pertahanan dengan AS yang dipersetujui September tahun lalu telah membuktikan kepentingan Australia dalam pakatan pertahanan dengan AS. Perjanjian itu telah memberikan Australia lebih akses kepada peralatan pertahanan terkini AS yang selama ini sukar dikongsi dengan pihak lain.

Perjanjian-perjanjian ini semuanya ditandatangani sebelum Rudd menjadi perdana menteri. Apa pun sikap kerajaan baru Australia terhadap perjanjian-perjanjian tersebut, hal tersebut mendasari kedudukan istimewa Australia dengan kuasa Barat.

Australia juga telah bersetuju membeli 24 pesawat FA-18F Super Hornet bernilai AS$6.6 bilion, dan berhasrat membeli pesawat terbaru F-35 bernilai AS$16 bilion dari AS.

Semua ini menunjukkan persepsi dan perluasan peranan Australia - hingga ke luar kawasan tradisionalnya - telah lama ditetapkan elit politik dan tentera negara itu. Cadangan Babbage ini ialah satu usaha menuntut kerajaan Rudd mengambil kira perkembangan-perkembangan pertahanan terbaru dalam usaha menghasilkan kertas putih pertahanan terbaru negara itu.

Perkembangan terbaru ini menjelaskan lagi bahawa hala tuju pertahanan Australia tidak akan mengalami perubahan besar di bawah Perdana Menteri Kevin Rudd selain mengundurkan tentera dari Iraq.

Australia mempunyai satu kedudukan yang istimewa di Asia, sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya berasal dari Eropah dan mengekalkan hubungan penting dengan kuasa-kuasa Barat.

Rudd boleh melakukan perubahan-perubahan seperti dalam perjanjian alam sekitar global dan penghantaran pasukan tentera Australia ke medan perang luar negara, tetapi asas hubungan Canberra dengan Washington tidak boleh digugat.

Disebabkan kedudukan istimewa ini, Australia terpaksa mengekalkan hubungan istimewa dengan Barat, terutama Amerika Syarikat dalam hal pertahanan, seperti yang ditunjukkan semasa pentadbiran Howard.

Tahun lalu, selepas perjanjian dengan Jepun dicapai, untuk mengukuhkannya sebagai satu pakatan untuk menangani kebangkitan China, negara-negara terbabit - AS, Australia dan Jepun - mengajak India menyertai pakatan tersebut.

Penyertaan India akan melengkapkan satu "kepungan strategik" terhadap China. India dan Jepun kedua-duanya berada di kedudukan geografi yang strategik sebagai jiran China. Australia pula ialah negara sekutu penting AS yang mempunyai keupayaan ketenteraan paling baik untuk berperanan sebagai pengimbang kuasa tentera laut China. Hal ini mengundang rasa syak China terhadap pakatan itu.

Kemudian, satu lagi pertemuan penting yang diadakan secara senyap telah menjelaskan tujuan kerjasama empat negara itu, sekaligus meningkatkan lagi rasa syak Beijing. Pertemuan empat pihak itu diadakan ketika mesyuarat Forum Serantau Asean di Manila, Filipina pada bulan Mei 2007. Pertemuan itu ialah antara rundingan terakhir sebelum pakatan empat negara itu, dikenali sebagai Inisiatif Quadrilateral, disepakati.

China yang bimbang dengan tujuan pertemuan itu telah secara rasmi menuntut penjelasan daripada negara terbabit tentang tujuannya. Seperti biasa, keempat-empat negara terbabit menafikan perbincangan tersebut mempunyai matlamat menangani China.

Bagaimanapun, bukan China sahaja yang menjadi kebimbangan Australia. Australia juga melihat dengan berhati-hati perkembangan di negara jiran Indonesia yang disifatkan sebagai tempat subur bagi "gerakan militan Islam."

Pentadbiran Howard telah menunjukkan dengan jelas dasar Australia dalam hal ini. Masa akan menentukan sejauh mana pentadbiran Rudd akan meneruskan sikap ini. Tetapi tidak mungkin perhatian terhadap gerakan Islam di Indonesia akan menjadi kurang penting di bawah Rudd, kerana hal ini telah menjadi satu isu penting dalam pertahanan Australia, memandangkan kedudukan Indonesia sebagai jiran Australia.

Dan disebabkan kedudukan geografi Indonesia yang hampir dengan Malaysia, dan hubungan rapat rakyat kedua-dua negara terutama ahli gerakan-gerakan Islam, pasti perhatian juga diberi kepada Malaysia.

Cadangan meningkatkan keupayaan pertahanan itu dengan jelas menunjukkan doktrin baru pertahanan Australia yang semakin menyedari keperluan untuk bertindak di negara-negara jirannya, atau sekurang-kurangnya mempengaruhi tindakan negara terbabit.

Tiada ulasan: