Halaman

Selasa, 18 Mac 2008

Amar Makruf Dan Nahi Mungkar (Bahagian 2)

Perspektif Amar Makruf dan Nahi Mungkar menurut Al-Qur’an dan As-sunnah

Amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah sebahagian dari satu cabang pentadbiran Negara Islam yang diberi nama ‘HISBAH’. Ianya merangkumi amar ma’ruf dan nahi mungkar, maka untk mendekatkan kefahaman kita kepada perkataan tersebut maka patut lah kita memahami apa yang dikatakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Sesudah itu kita akan lebih mengerti apakah ciri-ciri kemungkaran yang diutarakan kepada kita oleh Al-Qur’an dan As-Sunnah.

Pengertian Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar :

Perkataan ‘Amrun’ dalam bahasa arab ditilik dari tiga keadaan iaitu :

1) Jika ianya datang daripada orang kelas atasan kepada orang kelas bawahan, seperti dari pemerintah kepada rakyat maka ianya bermakna perintah atau arahan untuk melakukan sesuatu.

2) Jika ianya datang daripada orang kelas bawahan kepada orang kelas atasan, seperti datang daripada rakyat kepada pemimpin atau pemerintah maka ianya bermakna permohonan untuk meletakkan atau mendapatkan sesuatu.

3) Jika sekiranya datang daripada orang yang sama taraf, ianya membawa maksud ‘Iltimas’ (pohon jasa baik).

Manakala perkataan ‘Nahi’ pula ialah dari perkataan ‘Nahyun’. Perkataan ini maknanya dalam bahasa Arab ditilik juga dari tiga keadaan iaitu :

1) Jika ianya datang dari orang atasan kepada orang bawahan, maka ianya bermakna arahan untuk meninggalkan sesuatu perkara.

2) Jika ianya datang dari orang bawahan kepada orang atasan, maka ianya bermakna rayuan untuk meninggalkan sesuatu perkara.

3) Jika ianya datang daripada orang yang sama taraf, maka ianya bermakna menasihatinya supaya ia tidak melakukan sesuatu.

Perkataan ma’ruf pula ialah sesuatu yang selari dengan ajaran Al-Qur’an dan Sunnah Nabawiyyah atau dengan perkara lain perkataan- Ma’ruf itu ialah sesuatu yang dikira baik oleh syara’ (syariat Islam). 1

1. An Nasafi Jilid 1 Halaman 174


Manakala perkataan mungkar pula ialah sesuatu yang menyanggahi Al-Qur’an dan As-Sunnah ataupun sesuatu yang dikira buruk oleh syara’.

Dari huraian yang dinyatakan diatas, maka bolehlah kita simpulakan bahawa Amar Ma’ruf itu ialah mengarahkan atau mengajak supaya melakukan apa-apa yang dituntut oleh syara’ ataupun mengajak untuk melakukan kebaikan.

Nahi Mungkar pula ialah melarang atau menasihati ataupun merayu supaya meninggalkan atau tidak melakukan sesuatu yang dilarang oleh syara’ ataupun sesuatu yang dikira buruk dari segi syara’ dan tidak pula meninggalkan sesuatu yang diperintah oleh syara’.

Tiada ulasan: