Halaman

Ahad, 8 Jun 2008

Obama Sokong Zionis, Musuhi Islam

BANDAR RAYA GAZA: Ucapan calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Demokrat, Barack Obama terhadap konflik Israel dan Palestin menerima kritikan daripada kedua-dua kumpulan yang berkuasa di Palestin, kelmarin.

Pergerakan Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza menyelar ucapan kepada kumpulan pelobi Israel-AS di Washington itu sebagai mengesahkan yang AS memusuhi negara Arab dan penduduk Islam.

"Kami mendapati ucapan Obama itu sebagai bukti permusuhan pentadbiran AS terhadap negara Arab dan Muslim," kata jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri.

Dalam ucapannya pada persidangan tahunan Majlis Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (Aipac) yang juga kumpulan pelobi berpengaruh Amerika, Obama menegaskan Baitulmaqdis juga perlu dikekalkan sebagai hak Israel.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas (gambar) yang sebelum ini menggesa kawasan timur Baitulmaqdis yang diduduki Israel secara haram pada 1967 dijadikan ibu negara Palestin, turut mengkritik ucapan berkenaan.

"Kami menolak kata-kata itu, Baitulmaqdis adalah satu daripada perkara yang sedang dirunding; seluruh dunia tahu yang kami tidak akan menerima satu negara tanpa (timur) Baitulmaqdis (sebagai ibu negara). Ia sepatutnya jelas," katanya.

Obama dalam ucapan dasar luar pertama selepas disahkan menewaskan Hillary Clinton sebagai calon Demokrat bagi pemilihan Presiden baru, turut menegaskan tidak akan berkompromi bagi sebarang isu membabitkan keselamatan sekutu utama negaranya, Israel.

"Baitulmaqdis akan terus kekal ibu negara Israel dan tidak boleh dibahagikan," katanya yang disambut tepukan gemuruh.

Isu status Baitulmaqdis sememangnya menjadi isu getir rundingan damai Israel-Palestin kerana Palestin mahukan bandar itu menjadi ibu negaranya kelak.

Dalam ucapan pro-Israel dan di anggap asas pendirian dasar luar jika bergelar Presiden baru, Obama turut mengakui dirinya sebagai sahabat sejati Israel dan perhubu ngan Washington-Tel Aviv tidak mungkin terputus. � AFP

Sumber

Tiada ulasan: