Halaman

Selasa, 15 Julai 2008

PTPTN potong RM114 setiap semester, pelajar dakwa tidak tahu

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Hrkh) - Isu pinjaman pengajian Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) sekali lagi timbul selepas Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan untuk mengurangkan kos pentadbiran oleh perbadanan tersebut baru-baru ini.

Harakahdaily dimaklumkan bahawa terdapat mahasiswa baru yang mengadu bahawa pinjaman mereka dipotong sebanyak RM114 pada semester baru-baru ini.

Pegawai di unit Kebajikan Universiti terbabit telah bertindak menghubungi pihak PTPTN yang menjelaskan bahawa ianya adalah kos bagi insurans pelajar terbabit sungguhpun ianya tidak dimaklumkan secara bertulis kepada pihak universiti dan para pelajar.

"Ini menyebabkan para pelajar terkejut dan rasa kurang senang dengan tindakan PTPTN tersebut," jelas salah seorang pegawai bahagian Hal Ehwal Pelajar sebuat universiti yang enggan dikenali.

Bahkan, potongan tersebut bukan sahaja dirasai para pelajar baru tetapi ia turut dirasai para pelajar yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi lain juga.

"Pihak universiti tidak mendapat maklumat awal daripada PTPTN malah kami juga mengharapkan maklumat tersebut turut diberi kepada para pelajar yang merupakan pelanggan atau peminjam.

"Sudah tentu dua agensi terbabit iaitu universiti dan pelajar berhak mendapat info terbabit terlebih dahulu sebelum tindakan pemotongan dibuat," katanya kepada Harakahdaily.

Malah ujarnya, setelah dimaklumkan mengenai maklum balas daripada PTPTN tersebut pihak pelajar sekali lagi mengeluh dengan kadar potongan yang dibuat memandangkan kos sara hidup di IPT semakin meningkat dan membebankan mereka.

Harakahdaily difahamkan kesemua pelajar terlibat dengan potongan RM114 setiap semester bagi tujuan insurans itu.

Walau bagaimanapun, pegawai PTPTN yang dihubungi menyatakan pihaknya akan mengeluarkan pekeliling bagi memaklumkan mengenai hal tersebut.

"Tapi sampai sekarang, tiada sebarang surat yang diterima pihak pelajar.

"Sepatutnya bagi awal-awal lagi sebab pelajar telah komplen,"ujarnya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Idris Harun telah mengesahkan bahawa KPT telah membuat pengumuman kepada mahasiswa baru bahawa pihak PTPTN telah bersetuju untuk mengurangkan kos pentadbiran.

Namun, KPT sekali lagi melahirkan kekesalan atas insiden pemotongan ini yang sekaligus mengundang rasa kurang senang di hati pelajar dalam situasi kegawatan ekonomi masa kini.

Sumber

Tiada ulasan: