Halaman

Selasa, 8 Julai 2008

Kelantan rangka enakmen denda umat Islam tinggalkan solat

KOTA BHARU, 7 Julai (Hrkh) Kerajaan Kelantan kini sedang menyiapkan enakmen bagi membolehkan mereka yang tidak menunaikan solat fardhu lima kali sehari dikenakan tindakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, kajian akhir bagi menyiapkan enakmen tersebut sedang dilakukan.

Enakmen ini akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang apabila siap sepenuhnya, katanya ketika menjawab soalan tambahan Ustaz Mohammad Mustaffa (PAS-Demit) pada persidangan Dun hari ini.

Bagaimanapun katanya, bagi orang Islam yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut sudah ada peraturan khusus mengenainya dengan dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara kurang satu tahun.

Katanya, peraturan itu terkandung dalam enakmen di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Mohammad sebelum itu berkata, satu fenomena baru umat Islam telah berlaku di mana ada di kalangan mereka meninggalkan solat Jumaat tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Ujarnya di Kelantan terdapat 500 masjid yang dijadikan tempat solat Jumaat dan sepatutnya imam menggunakan mimbar menyedarkan orang ramai tentang kepentingan solat Jumaat.

Mohd Amar juga berkata, pelbagai program telah dilaksanakan kerajaan negeri ke arah kemurnian akhlak rakyat Kelantan.

Menurutnya juga keberkesanan program Bulan Sembahyang yang diadakan setiap bulan Rejab berjaya memberi peringatan kepada rakyat terhadap kepentingan mendirikan solat.

Setiap tahun sebanyak RM500,000 diperuntukan kerajaan negeri bagi tujuan itu bagi menjalankan aktiviti mengimarahkan masjid di seluruh negeri,tambahnya.

Ketika menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (PAS-Kemuning) katanya kekurangan tenaga pengajar di masjid dan madrasah akan diatasi dengan melatih golongan pendakwah muda.

Menurutnya di Kelantan terdapat ramai belia berkelulusan universiti Timur Tengah yang berpotensi dilantik sebagai pendakwah muda.

Sementara itu, Dr Mohamad Mohd Daud (PAS-Tendong) mempertikaikan sikap sesetengah imam yang tidak membenarkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membaca khutbah Jumaat.

Katanya, tidak sepatutnya sebagai seorang ulama dan ketua kerajaan negeri dihalang untuk berkhutbah di depan rakyat sendiri.

Malah saya sendiri sebagai wakil rakyat di Tendong juga dihalang untuk berbuat demikian. Perkara ini biasa berlaku apabila imam terbabit mempunyai ideologi politik yang berlainan.

Kita hairan kerajaan negeri memberi sumbangan menyiapkan masjid, tetapi masjid yang sudah siap diterajui orang lain. Ia tidak sepatutnya berlaku, ujarnya.

Sumber

Tiada ulasan: