KUALA KANGSAR, 8 Julai (Hrkh) - Pertubuhan Islam bukan kerajaan, Badan Khidmat Masyarakat At-Taif (Pakat) masih dalam proses menyiapkan bangunan berharga RM640,000 di Kg. Pasir Batang Kulim, Kota Lama Kiri dekat sini yang bermula lebih setahun lalu.
Pengerusinya, Ustaz Jamaluddin Ahmad menyatakan projek yang masih dalam pembinaan itu telahpun membelanjakan sebanyak RM420,000 mengikut bajet awalnya tetapi memandangkan krisis bahan bakar melanda negara, kos pembinaan madrasah tersebut kini meningkat RM220,000 lagi.
"Dengan itu saya bagi pihak Jawatankuasa Pakat merayu kepada orang ramai, perseorangan, para dermawan dan Badan Kebajikan lain untuk memberikan sumbangan bagi menyiapkan bangunan tempat meluaskan ilmu Islam ini," tegasnya.
Beliau yang merupakan bekas pensyarah itu, menyeru kepada mereka yang ingin membantu supaya menyalurkan sumbangan menerusi RHB Bank No. Akaun Simpanan: 1-58187-0004087-5 dan No. Akaun Semasa: 2-58187-0000557-8.
Katanya, adalah diharapkan dengan terdapatnya tambahan kewangan dari penderma maka dapatlah bangunan tersebut disiapkan dan mula digunakan pada bulan Ramadhan nanti.
Beliau memberitahu, mereka yang ingin menderma tidak perlu ragu-ragu dan takut-takut kerana pihaknya telah mendapat kebenaran memunggut derma dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK/ 05-PD / 0089 PP / 8, Mei 2008).
Beliau menyatakan bangunan madrasah yang bertujuan mengasuh anak desa dengan bimbingan agama dan akademik, menjadikan ia pusat kecemerlangan ilmu dan jati diri umat Islam dari semua gulungan masyarakat itu telah dilakukan perasmian pecah tanahnya oleh Pegawai Pembangunan Negeri Perak, Dato� Haji Zainal Abidin Omar pada 16, jun 2007.
"Madrasah ini dibina dua tingkat, mempunyai lapan buah bilik ilmu dengan sebuah dewan mesyuarat memuatkan 400 orang yang terletak di tingkat bawah," katanya.
Sementara itu beliau berkata, sebenarnya Pakat telahpun beroperasi kepada masyarakat cara kecil-kecilan sejak sepuluh tahun lalu di bangunan sementaranya ditapak sama dan akan berpindah ke madrasah baru apabila ia siap sepenuhnya. - mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan