Halaman

Ahad, 27 Julai 2008

Kerajaan Pulau Pinang jadikan Julai bulan al Quran

KOTA BHARU, 27 Julai - Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengisytiharkan Julai sebagai bulan Tafaqquh fil Quran Wassunnah, kata Timbalan Ketua Menterinya, Muhammad Fairus Khairuddin.

Menurutnya program berkenaan dilancar bagi mengukuhkan agenda pemahaman al Quran di kalangan umat Islam di negeri itu.

Biar pun negeri tersebut ditadbir pemimpin bukan Islam, namun atas semangat bekerjasama kebebasan beragama tetap diutamakan, katanya pada satu majlis di Wakaf Bharu, baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri bukan sahaja mahu memperbanyakkan program-program kefahaman al Quran, sebaliknya mempertingkatkan penghayatan bagi membina kekuatan ummah.

Menurutnya, program itu sedang berjalan sekarang dan diisi beberapa program bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap al Quran.

Kerajaan negeri berusaha untuk mengubah penduduk di negeri itu bukan sahaja dalam bidang ekonomi, sebaliknya memberi kefahaman Islam yang sebenar, katanya.

Fairus yang mengadakan kunjungan kali ketiga ke sini baru-baru ini berkata, kerajaan Pulau Pinang juga menyusun pelbagai program membela rakyat yang berpendapatan rendah termasuk menaikkan elaun guru-guru fardhu ain (Kafa).

Katanya, elaun tersebut diberi memandangkan kadar lama yang diberi kerajaan persekutuan tidak sepadan dengan tanggungjawab dipikul.

Selain itu, bantuan khusus kepada sekolah-sekolah termasuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) juga diberi.

Di bawah portfolio saya kita menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera dan Tabung Usahawan Bumiputera sebagai langkah awal ke arah mengubah nasib rakyat.

Kita juga ada jawatankuasa Pakatan Rakyat yang bertanggungjawab melihat dan merancang program untuk menyelesaikan masalah kemiskinan semua kaum di negeri tersebut, ujarnya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri sedang berbincang merangka program khusus bagaimana untuk memperkasakan pembangunan keusahawanan untuk manfaat semua penduduk.

Katanya, Pakatan Rakyat tidak memfokus kepada satu golongan semata-mata kerana agenda bersama untuk ketuanan rakyat.

Bagaimanapun ini bukan bermaksud kita meninggalkan sama sekali kepentingan masyarakat Melayu, bahkan kita sudah mula melaksanakan langkah awal untuk membela nasib mereka, katanya.

Mengenai hubungannya dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng beliau menjelaskan berjalan baik seperti biasa. - mj _

Sumber

Tiada ulasan: