Halaman

Jumaat, 17 Oktober 2008

Pilihan raya kampus: UMP, UMK, UTeM milik proaspirasi

PETALING JAYA: Keputusan bagi tiga buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mengadakan pilihan raya kampus mereka hari ini menunjukkan kumpulan proaspirasi menguasai gelanggang pertandingan dengan mudah tanpa persaingan.

Tiga IPTA berkenaan yang seratus peratus berpihak kepada pendokong matlamat universiti dan kerajaan tersebut ialah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Bagi UMP, Mohd ‘Afif Abd Aziz yang bertanding untuk kerusi umum memperoleh jumlah undian tertinggi iaitu sebanyak 3175 undi.

Empat lagi calon yang menang untuk kerusi umum ialah Mohamad Suffi Kamari (2963), Nik Aimie Farah Nik Azhan (2828), Nur Izzah Zakaria (2794) dan Noor Izyannisa’ Sarjuni (2663).

Pemilihan kali ini mempertandingkan lima kerusi umum dan sepuluh kerusi fakulti dengan jumlah keseluruhan 15 kerusi.

Setiap fakulti diperuntukan dua kerusi.

Dua pelajar yang dipilih untuk mewakili Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA) ialah Muhammad ‘Izzat Saidon dengan memperoleh 704 undi dan Nur Hidayah Maslan dengan 588 undi.

Bagi Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Sazwan Sahar berjaya mengungguli empat calon lain dengan kutipan 588 undi diikuti rapat dengan perbezaan 14 undi iaitu Naeem Zulkifle, 574 undi.

Shahrul Afzam Mohamad yang mendapat 389 undi telah dipilih untuk mewakili Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP) bersama Norizan Syahnan yang memperoleh 254 undi.

Bagi Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FKASA) serta Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), calon dari fakulti berkenaan diumumkan menang tanpa bertanding.

Mereka ialah Mihammad Adib Mahmud dan Annuar Abdullah bagi FKASA, manakala Wan Nor Hafizah Wan Abd Talib dan Lim Min Siang bagi FKEE.

Peratusan jumlah keluar mengundi adalah sebanyak 77.88 peratus daripada 4700 pelajar yang layak mengundi.

Keputusan itu diumumkan oleh Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Alumni, Prof. Dr. Abd Jalil Borham.

Sementara itu semua 22 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya kampus UTeM terus kekal milik wakil proaspirasi bagi penggal pengajian 2008/2009.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Zolkepli Buang kira-kira pukul 6 petang tadi.

Mantan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM, ketika dihubungi berkata beliau berpuas hati dengan proses pengundian kali ini lebih-lebih lagi dengan keputusan yang diperolehi.

“Syukur prosesnya berjalan lancar, semuanya teratur kerana hanya satu pihak yang bertanding.

“Tiada istilah ‘proaspirasi’ mahupun ‘promahasiswa’ di UTeM kerana semua pengundinya mendokong matlamat universiti dan kerajaan,” katanya.

Pemilihan kali ini menyaksikan tujuh kerusi umum dipertandingkan dan 15 kerusi fakulti menjadikan kesemuanya 22 kerusi.

Dalam pada itu bagi UMK kesemua sembilan kerusi yang dipertandingkan berpihak kepada proaspirasi.

Daripada jumlah itu, tiga merupakan kerusi umum dan enam kerusi fakulti.

Mantan YDP MPP UMK, Mohd Nazri Hanapiah Sudin ketika dihubungi berkata pilihan raya yang pertama itu mencatat rekod kemenangan seratus peratus calon penyokong universiti.

“Saingan tetap ada, tapi kami hanya bertanding sesama sendiri,” katanya.

UMK mula beroperasi pad atahun 2007.

Selain itu, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) turut berpihak kepada proaspirasi kerana kesemua calonnya menang tanpa bertanding.

Bagi Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengadakan pilihan raya kampus mereka semalam, turut diungguli oleh kumpulan proaspirasi walaupun difahamkan pencapaiannya tidak seratus peratus.-Mstar

Sumber

Tiada ulasan: