Halaman

Isnin, 12 Mei 2008

Darul Quran dinaik taraf kolej universiti

SELANGOR: Kerajaan akan menaik taraf institut latihan Darul Quran sebagai kolej universiti dan bercadang menjadikannya Universiti Quran yang pertama di Asia Tenggara menjelang tiga tahun lagi.


Ia akan dijadikan sebagai Institusi Pengajian Tinggi Kerajaan (IPTK) di bawah portfolio agama yang akan menawarkan peringkat pengajian sarjana dan Doktor Falsafah selain peringkat sijil serta diploma dalam bidang hafazan, ‘Qiraat’ dan ‘Taranum’.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan ini dibuat berdasarkan infrastruktur, kurikulum dan tenaga pengajar di Darul Quran yang diyakini memenuhi peringkat awal penubuhan kolej universiti namun akan diperkemaskan melalui kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


“Saya akan mengemukakan kertas kabinet yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Darul Quran tahun ini bagi memastikan taraf tenaga pengajar tidak dipinggirkan dan terjamin seperti pengajar Institut Pengajian Tinggi Awam yang lain.


“Belanjawannya tidak banyak berbeza dengan pengurusan Darul Quran sekarang namun yang berbeza mungkin jumlah pengambilan pelajar dijangka bertambah. Kita mempunyai peruntukkan dalam rancangan Malaysia ke-9 sekiranya rancangan ini diluluskan kabinet nanti,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pelajar Darul Quran Jakim, Darul Quran Kuala Kubu Bharu, di sini semalam.


Turut hadir sama Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Anan C Mohd dan Pengarah Darul Quran, Che Ibrahim Che Man.


Beliau berkata, tenaga pengajar Darul Quran akan dihantar mengikuti kursus sarjana dan doktor falsafah mengikut bidang keperluan pengajian dalam Al-Quran bagi memenuhi keperluannya sebagai pengajar kolej universiti dan kemudiannya akan mewujudkan tiga jabatan utama di sini.

Sumber

Tiada ulasan: