Halaman

Khamis, 29 Mei 2008

Islam Hadhari juga merupakan program politik

Ustaz Idris Ahmad
Wed | May 28, 08 | 2:04:54 pm MYT

Utusan Malaysia 28/5/08 melaporkan reaksi pemimpin Umno dan pendokong Islam hadhari mengenai tindakan kerajaan Selangor melarang program Islam Hadhari antaranya, kata Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak "pengharaman Islam Hadhari tindakan politik, saya anggap dia (Hasan) tidak faham ataupun sengaja buat-buat tidak faham dengan konsep Islam Hadhari ini kerana pelaksanaannya langsung tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Mungkin dia berfikiran demikian kerana konsep ini dibuat oleh Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN), kata Dato' Seri Khir Toyo Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim), Dato' Mohd Nakhaie Ahmad berkata, tindakan kerajaan Selangor itu merupakan perkembangan yang tidak sihat untuk politik negara dan orang Melayu. Tindakan kerajaan Selangor itu bukan sahaja menyekat usaha mendaulatkan Islam malah ia boleh mengelirukan rakyat Selangor mengenai konsep Islam Hadhari.Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dato' Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, keputusan kerajaan campuran di Selangor yang berkuat kuasa serta merta semalam, dibuat tanpa memikirkan kebaikan dan manfaat rakyat secara keseluruhan.

Saya ingin menjelaskan bahawa Islam Hadhari ialah program penerapan nilai-nilai Islam kedua yang dijalankan oleh Dr Mahathir. Cuma di pakej semula dengan botol baru. Waktu diisytiharkan penerapan nilai-nilai Islam berlakunya zaman kebangkitan Islam abad ke-15. Kebangkitan rakyat Afghanistan menyerang Russia yang menceroboh Negara mereka. Mereka bangun dengan senjata iman dan kelengkapan yang serba dhaif. Waktu itu juga Revolusi Islam Iran yang berjaya menggulingkan regim Shah Iran di bawah kepimpinan seorang ulamak Al-Marhum Ayatollah Khomeini. Bahang kebangkitan ini juga menjalar di kalangan rakyat Malaysia, suara untuk menyeru pihak pemerintah supaya kembali kepada Islam yang syumul kedengaran segenap rantau. Terutama di kalangan generasi muda yang berada di kampus dalam atau di luar negeri.

Waktu itu Dr Mahathir atas nasihat pakar-pakar strategik telah melancarkan penerapan nilai-nilai Islam bagi membendung kebangkitan Islam. Beliau sedar arus ini tidak boleh dilawan kalau tidak ia akan hanyut di bawa arus. Maka beberapa program atas nama penerapan nilai Islam ditubuhkan antaranya mendirikan Universiti Islam Antara Bangsa, Takaful, Bank Islam, Kursus Bina Insan. Pada peringkat awal memang nampak hebat dengan adanya Slogan 'Bersih Cekap Amanah', 'Kepimpinan Melalui Teladan', mempercepatkan jam selama 30 minit untuk melihat dan mengejar kemajuan. Sebenarnya projek seperti ini diadakan ialah hendak melambatkan kebangkitan Islam sahaja dan perkara ini bukan menjadi matlamat asas mereka untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh. Ini hanya program politik untuk mengekalkan kuasa dan memperalatkan agama untuk memancing sokongan rakyat. Kenyataan Dr Mahathir dalam bukunya "The Malay Dilema" dalam halaman 15, membuktikan dakwaan ini "Kerajaan masih lagi melaksanakan projek-projek seperti mendirikan masjid dan balai raya. Pelaksanaan projek ini dijalankan bukan kerana segala kemudahan tesebut difikirkan perlu, tetapi kerana anggapannya yang salah kononnya langkah-langkah ini dapat memancing undi di di dalam pilihan raya yang akan datang"

Sedangkan Islam ialah agama Allah bukan ciptaan daripada mana-mana dogma manusia. Islam ialah Islam dan bukan lain daripada itu. Walaupun ada dalam tulisan orientalis barat yang cuba mengelirukan perkataan Islam dengan menyebut Muahmmadism seoalah-olah agama Islam adalah ciptaan Nabi kita Muhammad s.a.w. Malahan dalam tulisan mereka juga disebut dengan Muhammadan Law bukan disebut Islamic Law. Ini adalah mainan orientalis seolah-olah undang-undang ini adalah ciptaan Nabi Muhammad s.a.w.

Islam adalah agama yang tidak disandarkan pada individu tetentu. Tidak seperti agama Kristian dengan dikaitkan kepada Jesus Christ, Buddha disandarkan kepada Gautama Buddha. Demikian juga agama Zoroasterianism kepada Zoroaster. Islam juga tidak dikaitkan dengan mana-mana tempat, seperti agama Yahudi yang dikenali dengan dengan Judaism yang berasal daripada nama tempat iaitu Jew (Judah Tribe) demikianlah dengan Hinduism yang dinisbahkan kepada nama tempat iaitu Indus yang kemudian bertukar sebutannya kepada Hindu. Tetapi Islam adalah dari Allah daripada acuan Allah (Siibgah Allah) dan bukan ciptaan mana-mana individu berdasarkan falsafah dan pemikiran manusia yang dangkal.

Apabila menyebut Islam Hadhari ialah Islam maju. Maka di sana sudah tentu ada di sana Islam mundur. Ini sudah tidak betul kerana menyamakan Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t, ada maju ada mundur. Ini mendatangkan fitnah kepada Islam yang suci. Kerana hakikat Islam sentiasa maju, yang mundurnya apabila terkeluar daripada landasan Islam. Begitu juga jika kita menyatakan ada Islam baik dan Islam jahat. Sedangkan Islam mesti baik kerana ia datang daripada Allah s.w.t yang memang sifat Islam tidak jahat, yang jahat ialah penganutnya bukan Islam. Begitu juga yang mundur adalah penganutnya bukan Islamnya. Jika kita melihat penganut Islam yang terlibat dengan rasuah, zalim, diskriminasi, menyalahgunakan amanah rakyat, berzina, minum arak, berjudi, kesemuanya ini bukan Islam yang mengajar tetapi penyelewingan penganutnya daripada Islam.

Pemimpin Umno/BN hanya memilih Islam Hadhari supaya dapat memilih Islam yang boleh beri laluan untuk maju, walaupun bertentangan dengan Islam dan akhlak Islam. Mereka mahu Islam ikut mereka bukan mereka yang mesti ikut Islam. Inilah yang terjadi pada Islam Hadhari. Ini adalah barang lama Umno yang di tukar jenama sahaja. Pada hakikatnya itulah Islam yang diamalkan dan diperjuangkan oleh Umno sejak penubuhannya lagi yang mahu Islam disesuaikan dengan kehendaknya.

Sebab itu apabila ada golongan yang mengajak dan menyeru supaya balik kepada Islam yang sebenar maka mereka menuduh ini kolot, jumud, tidak maju dan tidak bertamaddun. Pada mereka neraca Islam Hadhari ialah akal dan nafsu walaupun bertentangan dengan nas yang qatie. Allah mengharamkan arak kerana arak dan dadah merosakkan akal. Songsangnya Islam Hadhari menghabiskan wang berjuta ringgit untuk kempen "Tak Nak Merokok" tetapi tidak berani kempen "Tak Nak Arak". Islam Hadari yang penting maju tidak kira halal atau haram, fikir untung bukan apa yang Islam kata boleh atau tidak.

Islam Hadhari mengharamkan dadah kerana ia menjejaskan ekonomi bukan kerana ia larangan agama. Arak tidak diharamkan kerana tidak menjejaskan ekonomi, orang minum arak pada malam hari, pagi esok ia boleh bekerja, orang hisap dadah pada waktu malam, esok hari ia tidak boleh bekerja. Sebab itu mereka tidak kempen menentang minum arak macam mereka kempen anti rokok. Pengharaman arak ada nas yang qatie sedangkan rokok tidak ada nas yang qatei. Inilah songsangnya Islam Hadhari Umno. Apakah ini yang dimaksudkan Islam Hadhari berteraskan kepada Tauhid?. Seperti yang dimegah oleh golongan yang mendokong Islam hadhari.

Daripada dahulu lagi pemimpin Umno mewawarkan kita mesti maju. Dengan slogan carilah dunia jangan lupa akhirat. Sehingga ada orang agama dalam Umno ketika berbicara dalam Televisyen dengan menyebut kita perlu cari dunia kerana habuan dunia payah dan habuan akhirat senang. (Astaghfirullah)

Apabila kemajuan yang tidak berteraskan kepada Islam yang sebenar maka yang dikejar tidak dapat dan yang dikendung kecician. Ini dapat dilihat dengan keadaan pencapaian ekonomi bumiputera pada tahun 1970 ialah 2.4% meningkat pada tahun 1990 ialah 19.3% manakala tahun tahun 2000 telah menurun kepada 18.7%. Tanah rezab Melayu selepas merdeka ada 3 juta hektar pada tahun 1995 hanya ada 1.7 juta hektar. Inilah kemajuan yang disogok atas nama Islam ala Umno bukan bertambah baik malah bertambah mengucup. Kalau dulu kemajuan atas nama penerapan nila-nilai Islam, bersih cekap amanah gagal mencapai kemajuan. Manakala sekarang atas nama Islam Hadhari. Kalau tidak berjaya pula slogan ini ditukar pada Islam Had Hari pula. Kaya dengan slogan tapi isinya tidak ada.

Kesimpulan

Islam adalah Islam dan ia berdiri dengan sendiri tanpa perlu dikaitkan dengan yang lain. Al-Syahid Syed Qutb telah menulis "Al-Islam huwa al-Hadharah" yang menyebut memang Islam itu maju dan yang mundur apabila tidak melengkapkan diri sebagai Islam yang tulin. Jika kita melihat di zaman Rasulullah s.a.w yang telah membawa kemajuan kpada bangsa Arab walaupun sebelum baginda diutuskan orang Arab adalah bangsa nomad yang tidak maju dan dikalahkan oleh musuh-musuh mereka. Keadaan berlaku sebaliknya apabila baginda membawa Islam ke dalam masyarakat Arab, sehingga bangsa Arab terkenal sebagai bangsa yang bermarwah dan bertamaddun. Begitu juga di negara kita apabila kesultanan Melayu mengamalkan Islam yang sebenar maka kekuasaan Melaka telah menguasai dua pertiga kepulauan Melayu. Inilah yang sepatut direnung bukan mengambil Islam separuh dan meninggal Islam separuh. Sampai bila pun tidak maju, kalau pun maju, kemudian ia akan membawa kehancuran pada Negara dan bangsa seperti yang dialami di Amerika Syarikat sekarang penyakit HIV 2 hingga 3 orang dalam satu jam manakala di negara kita 13 jangkitan HIV dalam seminggu. (Mingguan Malaysia 3/10/04, hlm. 19). Kalau ini yang didamkan oleh pendokong Islam Hadhari, teruskan usaha kamu. Kami Pas dan penentang Islam Hadhari boleh melepaskan diri, dan sejarah akan menjadi saksi. Wallahua'lam. - mns


Sumber

Tiada ulasan: