Halaman

Khamis, 29 Mei 2008

Polis Belanda digalak baca, fahami Quran

THE HAGUE: Polis Belanda digalakkan membaca terjemahan kitab suci al-Quran dan mengkaji biografi Nabi Muhammad untuk mendalamkan pengetahuan mereka mengenai Islam.

“Pegawai atasan memutuskan kakitangan yang membeli kitab itu akan mendapat kembali separuh daripada bayaran harga membeli al-Quran,” kata jurucakap polis, Ebe van der Land, kelmarin.

Terjemahan baru al-Quran dan biografi Nabi Muhammad bertajuk The Message, dalam bahasa Belanda diterbitkan Hossein Sadjadi Ghaemmaghami Farahani, yang menggunakan nama pena Kader Abdolah, bulan lalu.

“Kedua-dua buku ini akan membuatkan pegawai polis lebih memahami dan mengetahui al-Quran dan kehidupan Nabi Muhammad,” kata van der Land.

Mac lalu, Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders, mengirimkan dokumentari anti-Quran untuk tatapan umum di internet.

Dokumentari berkenaan bertajuk Fitna memaparkan imej serangan 11 September 2001 dan serangan bom kereta api di Madrid pada 2004 dengan petikan ayat al-Quran. Ia juga mengundang kritikan hebat daripada ahli politik, kerajaan dan penduduk Yahudi Belanda.

Awal bulan ini, kartunis Belanda, Gregorius Nekschott, ditahan kerana dituduh menghasut kebencian terhadap umat Islam dalam lakarannya.

Penduduk Muslim membentuk sejuta daripada 16 juta warga negara Belanda, kebanyakannya berasal dari Turki dan Maghribi. - AFP

Sumber

Tiada ulasan: