Halaman

Isnin, 14 April 2008

Isu balak: Kerajaan Pahang engkar arahan mahkamah

KUANTAN, 14 April (Hrkh) - Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang mengarahkan Kerajaan Negeri dan Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang membayar ganti rugi lebih RM37 Juta kepada Syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur (SGM) Sdn Bhd.


Keputusan itu dibuat dalam penghakiman mahkamah rayuan pada 13 Febuari 2008 lalu.


Pengarah SGM, Syed Ali Badaruddin Syed Othman berkata, defeden (Kerajaan negeri dan Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang) gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Kuantan.


Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 telah mengeluarkan suatu perintah kepada kedua-dua defenden supaya membayar ganti rugi berjumlah RM37,127,471 kepada SGM dengan kadar faedah 8 peratus setahun.


Kedua-dua defenden diberi tempoh tiga bulan untuk membuat pembayaran kepada SGM namun, sehingga 7 April 2008 iaitu tempoh hari terakhir ditetapkan mahkamah, kedua-dua defenden gagal membuat apa-apa pembayaran, bagaimanapun defenden mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.


SGM pada 7 Mac telah mendapatkan perakuan perintah untuk amaun penghakiman terhadap kedua-dua defenden dari Mahkamah Tinggi Kuantan.


Menurut peguamnya, Mohd Iqbal Hamdy Rosdy, pihaknya sedang menimbang untuk mengambil tindakan susulan ekoran defenden mengengkari keputusan Mahkamah.


Ditanya apakah bentuk tindakan yang akan diambil, Mohd Iqbal berkata, pihaknya akan memikirkan apakah bentuk tindakan sesuai tetapi tidak menolak tindakan menghina mahkamah akan diambil terhadap defenden.


Pertikaian di antara SGM dengan kerajaan negeri serta Pengarah Jabatan Perhutanan negeri timbul sejak tahun 2000 apabila SGM sebagai kontraktor pembalakan kepada tanah milik umno seluas 10,000 ekar di Mukim Bebar, Pekan, gagal memperbaharui lesen pembalakannya.


Difahamkan SGM membayar RM1 juta kepada Umno Pahang untuk mengeluarkan saki baki balak di kawasan terbabit. Bagaimanapun, sebelum kerja pembalakan selesai Jabatan Perhutanan Pahang enggan mengeluarkan lesen kepada SGM menyebabkan SGM mengalami kerugian.


Ekoran itu SGM mengambil tindakan mahkamah sebagai jalan terakhir setelah kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri enggan melayan permohonan SGM untuk memperbaharui bagi meneruskan kerja pembalakan.


Ditanya apakah Umno Pahang turut terlibat, Syed Ali berkata, syarikatnya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan Umno (pemilik kawasan) masalah yang timbul ialah dengan kerajaan negeri.


"Tiada apa-apa masalah di antara pemilik tanah (Umno) dengan Syarikatnya, masalah yang timbul ialah dengan kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri kerana enggan memberi lesen.


"Ini menyebabkan syarikat saya tidak dapat meneruskan kerja pembalakan dan mengalami kerugian besar," katanya.


Menurut peguam SGM, kegagalan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Dato' Seri Adnan Yaakub sebagai Menteri Besar mematuhi arahan mahkamah adalah suatu tindakan yang sangat tidak bertanggung jawab.


Ini kerana, rakyat mengharap kerajaan menjadi contoh yang baik, apabila kerajaan sendiri mengingkari undang-undang, apalah yang dapat diharapkan daripada kerajaan itu.


"Ia telah menghancurkan harapan rakyat, amanah rakyat kepada kerajaan yang di
pimpinya," kata beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Pahang (kini Peramu Jaya).


Jelas Iqbal, apa yang berlaku ini sebenarnya dilihat oleh rakyat, pelabur asing dan sebagainya, beliau yakin tindakan mengengkari keputusan mahkamah ini akan menakutkan pelabur asing untuk melabur di Pahang sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi Pahang yang sedia lembab.


"Para pelabur pastinya akan memikirkan kesan negatif terhadap mereka jika berlaku sebarang masalah dengan kerajaan negeri pada masa depan, lebih-lebih lagi apabila kerajaan negeri dilihat membelakangi keputusan mahkamah," ujarnya.


Difahamkan kes ini adalah yang pertama membabitkan sebuah kerajaan negeri di negara ini di mana kerajaan sendiri engkar keputusan mahkamah.


Sumber

Tiada ulasan: