Halaman

Selasa, 15 April 2008

Notis hadir ke balai, tindakan polis 'mala fide' - Syed Husin

KUALA LUMPUR, 15 April (Hrkh) - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dr Syed Husin Ali mengecam tindakan polis yang menyerahkan notis hadir ke Balai Polis Dang Wangi petang ini (3.00 petang) ke atas Presidennya, Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali dan Yahya Shari.


Beliau menganggap tindakan polis ke atas pemimpin-pemimpin KeADILan ini merupakan satu bentuk ugutan dan provokasi.


"Mereka begitu cepat sekali bertindak ke atas pemimpin-pemimpin ini selepas menerima aduan.Kami harap secara adil pihak polis bertindak cepat juga apabila menerima aduan tentang hal-hal lain dari pihak kami atau pihak-pihak lain.


"Kami juga menganggap tindakan ini sebagai mala fide (berniat jahat)," katanya dalam satu kenyataan media berhubung isu terbabit.


Dipercayai polis menyerahkan notis itu untuk menyiasat mereka berhubung sebuah perhimpunan pada 14 April 2008 dan polis bertindak kerana menerima aduan mengenai perhimpunan tersebut.


Berhubung dengan perhimpunan semalam, Syed Husin menjelaskan bahawa pertemuan telah di adakan di antara pihak polis termasuk Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur dan lain-lain, wakil penganjur Yahya Shari yang juga pembantu khas Menteri Besar Selangor dan wakil-wakil Kelab Sultan Sulaiman.


"Status perhimpunan itu dari segi undang-undang tidak pernah timbul dalam perbincangan ataupun surat-menyurat yang berikutan. Perhimpunan itu diadakan di kawasan persendirian (private)," katanya.


Katanya seperti pihak polis sedia maklum, perhimpunan itu berjalan secara aman dan terkawal dan diadakan dengan teratur dalam lingkungan kawasan Kelab Sultan Sulaiman.


Bagaimanapun kata Syed perhimpunan itu telah diberhentikan selepas pihak pegawai polis meminta Saudara Anwar Ibrahim menamatkan ucapan.


"Namun tidak ada bantahan dari perhimpunan, penganjur atau Anwar sendiri terhadap tindakan polis ini. Segalanya berakhir dengan aman dan baik pada jam 10.30 malam," kata Syed Husin.

Sumber

Tiada ulasan: