Halaman

Selasa, 15 April 2008

Umno didakwa peralat Yayasan Pahang untuk kepentingan politik

TEMERLOH 15 April (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pahang kesal Umno memperalatkan Yayasan Pahang untuk kepentingan politiknya.


Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi mendedahkan bagaimana Umno, mempergunakan kemudahan Yayasan Pahang di Mesir iaitu sebuah bilik di bangunan Asrama Haiyu Asyir untuk menempatkan pejabat Kelab Umno.


Nasruddin berkata, adalah tidak wajar harta rakyat digunakan untuk kepentingan sebuah parti politik.


"Umno sepatutnya menggunakan wang sendiri untuk membeli dan membiayai pengurusan kelabnya, kenapa menggunakan kemudahan milik rakyat," katanya yang baru pulang dari lawatan ke Mesir baru-baru ini.


Nasruddin berkata, beliau mempunyai bukti mengenai dakwaanya itu, dan mahu pihak Umno memberi jawapan mengapa harta rakyat digunakan untuk tujuan politik kepartian. Pihaknya juga menimbang untuk membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).


"Mereka menjadikan Rumah Pahang seperti Markaz Umno, manakala pegawai Yayasan pula terlibat menjadi pengedar borang keahlian Umno kepada para pelajar," ujarnya.


Tindakan itu amat mengelirukan kerana pelajar tidak dibenarkan berpolitik tetapi kenapa pula pegawai kerajaan sendiri melanggar larangan itu dengan menjadi agen kepada sebuah parti politik dan berkempen kepada pelajar.


Katanya, dalam lawatanya ke Mesir itu beliau mendapati wujudnya beberapa perkara yang kurang menyenangkan, antaranya pihak pengurusan (wakil Yayasan Pahang di Mesir) mengutamakan pelajar dari negeri lain untuk menduduki Asrama Yayasan Pahang sekali gus mengetepikan pelajar anak Pahang.


Ini berlaku kononya pelajar Pahang yang disisihkan itu cenderong menyokong PAS, manakala pelajar luar Pahang adalah penyokong Umno yang datang dari Johor, Selangor dan negeri-negeri lain.


"Saya difahamkan wujud isu pihak pengurusan lebih mengutamakan pelajar bukan warga Pahang (menyokong Umno) untuk menduduki asrama milik Yayasan Pahang," katanya.


Begitu juga isu kebajikan pelajar di mana ada pelajar yang layak menerima bantuan dinafikan atas sebab politik (alasan popular yang diguna untuk menekan pelajar yang tidak disenangi).


Beliau berkata, bantuan (wang zakat) kepada pelajar Pahang juga lebih kecil (antara 2,000 hingga 4,000 ringgit) berbanding bantuan sama diterima pelajar dari negeri-negeri lain seperti Selangor, Terengganu dan sebagainya. Para pelajar negeri-negeri terbabit menerima bantuan di antara (5,000 hingga 6,000 ringgit setahun).

Sumber

Tiada ulasan: